Renungan




Tuesday, March 24, 2009

Model Pengajaran Tilawah Al-Quran

Pelajaran: Tilawah Al-Quran (Surah al-Baqarah ayat 1 – 5)
Tajuk: Dengung Nun Sakinah dan Tanwin
Tingkatan: Satu
Bilangan Pelajar: 35 orang
Masa : 40 minit
Objektif Am : Pelajar dapat membaca Al-Quran dengan baik dan betul
Objektif Khas:
1. Pelajar dapat membunyikan dengung Nun Sakinah dan Tanwin dengan betul (pada huruf Fa, Zai, Lam dan Qaf)
2. Dapat menyebut ciri-ciri orang-orang Muttaqin.

Langkah 1. Induksi set
Bertanya khabar dan berdoa. Guru boleh melakukan apa saja untuk menarik perhatian pelajar kepada tajuk pelajaran hari ini, seperti gambar orang solat, gambar dunia dan lain-lain. Kalau gambar orang solat, tanyakan; gambar apa ini? kenapa dia/kita solat?. Juruskan kepada tajuk: Kita solat untuk mendapat pangkat Taqwa, orang yang bertaqwa disukai Allah. Jadi hari ini kita akan membaca ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan ciri-ciri orang bertakwa.
Kalau Gambar alam, tanyakan alam ini siapa yang jadikan? Ada lagi tak alam selain daripada yang kita nampak ini? Jika ada alam apa namanya?. (Alam ghaib). Kamu tahu apa yang ada dalam alam ghaib? Ya, ada syurga, ada neraka, ada Arasy, Kursi dan macam-macam lagi. Kita sebagai seorang Islam wajib percaya adanya alam ghaib ini. Orang yang benar-benar percaya kepada adanya alam ini akan tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa, dan orang yang bertaqwa ini dikasihi Allah. Jadi, hari ini kita akan membaca ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan ciri-ciri orang yang bertaqwa.

Langkah 2. Membaca ayat.

Guru pamirkan ayat di hadapan, sama ada tulisan di papan, carta, transparensi, slaid, LCD atau sebagainya. Dalam masa yang sama, jika boleh, setiap murid mempunyai Mushaf Al-Quran. Jika guru menulis ayat, pastikan ditulis dengan Rasm Uthmani, betul, elok, dan dapat dibaca oleh murid yang di belang kelas. Tujuan carta, ialah supaya guru dapat tunjukkan tanda-tanda semasa membaca dan membetulkan bacaan murid. Tujuan Mushaf Al-Quran ialah kerana membaca Al-Quran daripada Mushaf lebih baik dan lebih tepat. Selain itu ialah untuk menerangkan adab dengan Al-Quran dan juga untuk keberkatan dan mendapat pahala memandang mushaf.
Guru membaca ayat dengan diperhatikan oleh pelajar sekurang-kurangnya dua kali. Kali ketiga diikuti oleh semua murid. Kemudian minta murid membacanya secara perseorangan (dalam keadaan tertentu boleh secara kumpulan). Bilangan pelajar mengikut keadaan masa. Murid membaca di Mushaf lebih baik daripada di papan tulis. Guru betulkan bacaan yang salah. Guru mesti membacanya dengan betul (pada tempat yang salah) dan minta murid ulangkan beberapa kali sehingga betul.

Langkah 3. Perbincangan hukum bacaan
Guru minta murid keluarkan kalimah (ayat) yang ada Nun Sakinah. Guru tuliskan (senaraikan) di papan tulis. Kemudian guru tanyakan bagaimana membaca kalimah ini? Dengung atau tidak dengung? Kalau dengung, guru minta murid bacakan. Jika salah, tunjukan cara membacanya. Ambil perhatian semua murid supaya mendengar dan membaca ayat berkenaan dengan dengung yang betul. Demikinlah dengan kalimah lain satu persatu.
Selepas itu guru minta pelajar keluarkan kalimah (ayat) yang ada Tanwin, dan guru tuliskan di papan tulis. Guru soal pelajar bagaimana cara membaca kalimah berkenaan (satu demi satu). Dengung atau tidak dengung?. Kalau dengung bagaimana cara mendengungkannya. Jika murid bunyikan dengan cara yang salah atau tidak cukup harakat, maka guru tunjukkan cara yang betul. Minta perhatian pelajar semua supaya mendengar dan mengikut bacaan guru menyebut dengung bagi kalimat tersebut dengan betul. Minta beberapa orang murid menyebutnya untuk pengukuhan. Guru buat kesimpulan bahawa jika Nun Sakinah dan Tanwin bertemu dengan huruf seperti yang dibincangkan bacaannya adalah dengung.
Langkah 4. Latihtubi.
Guru bahagikan pelajar dalam beberapa kumpulan dan tetapkan ayat-ayat yang hendak dibaca oleh setiap kumpulan. Pelajar membaca dalam kumpulan selama 7 –10 minit. Guru mengawasi semua kumpulan di samping memberi perhatian lebih kepada kumpulan yang lemah. Dengan cara ini pelajar dapat membina kemahiran membaca dan semua pelajar dapat membaca.
Langkah 5. Beri pengajaran ayat.
Setelah cukup masa, guru panggil semua pelajar balik ke tempat masing-masing. Guru buat kesimpulan bahawa dalam ayat yang kita baca tadi Allah menjelaskan ciri-ciri orang yang bertaqwa, iaitu ; Orang yang percaya kepada perkara ghaib mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menderma, percaya kepada kitab-kitab Allah dan yakin adanya hari Akhirat. Guru tuliskan di papan dan pelajar salin.
Langkah 6. Penilaian
Guru tulis atau siapkan beberapa ayat yang ada Nun Sakinah dan Tanwin dan minta murid bacakan ayat-ayat berkenaan mengikut pengalaman yang dibincang sebentar tadi. Contoh soalan: Bagaimana membaca ayat ini? Cuba baca ayat ini, Ahmad, dan lain-lain. Solan tentang ciri-ciri orang yang bertaqwa. Contoh: Sebutkan 3 ciri orang yang bertaqwa. Minta beberpa orang murid menjawabnya.
Langkah 7. Penutup.
Guru merumus isi pelajaran dan menasihati pelajar supaya, selalu membaca Al-Quran, membaca dengan cermat dan betul, melakukan solat, menolong kawan yang perlu pertolongan, kerana ini mendidik kita menjadi orang yang bertaqwa.