Renungan




Monday, March 23, 2009

Mohd. Khairi Pilih Islam Selepas Puas Mengkaji

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


MOHD. KHAIRI YAP ABDULLAH.

WAHYU pertama yang diturunkan Allah s.w.t kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w melalui malaikat Jibril pada malam 17 Ramadan ialah Iqra' (Bacalah) yang memberi signifikan kepentingan menuntut dan menimba ilmu pengetahuan.

Bermula daripada detik itulah, kehebatan Islam terus gemilang dengan membawa rahmat ke seluruh pelosok dunia sehingga menyinarkan zaman kegelapan yang dihadapi oleh bangsa Arab dan penganut agama Islam lain.

Signifikan daripada mukjizat agung itu telah mencorakkan tamadun dunia dengan pelbagai penemuan inovasi dan teknologi yang tiada tolok bandingnya.

Bagi Mejar Mohd. Khairi Yap Abdullah, 44, perkara itu tidak pernah disedari olehnya kerana beliau tidak pernah didedahkan mengenai kemuliaan ajaran Islam. Sementelahan pula anak kelahiran Mentakab, Pahang itu sejak dilahirkan sehingga 29 tahun beragama Kristian dan dibesarkan dalam persekitaran agama berkenaan yang begitu kuat dan menebal.

Kalaupun ada maklumat mengenai agama Islam yang diketahuinya, ia adalah terlalu sedikit dan kononnya ajarannya pula terpesong daripada landasan sebenar - mengikut doktrin Kristianisasi.

Selama 29 tahun menganut Kristian, Islam yang diketahuinya mengandungi pelbagai kekurangan dan cukup sinonim dengan elemen keganasan di kalangan penganutnya demi mencapai matlamat penyebaran dakwah.

Bagaimanapun, sudah menjadi fitrah kepada manusia yang sempurna akalnya untuk mencari kepastian dan kebenaran di atas setiap persoalan yang timbul mengenai agama yang dianutinya dan juga agama yang 'diperhodohkan' iaitu Islam.

Semangat mencari kebenaran itu semakin menebal apabila beberapa kekeliruan dan kemusykilan yang timbul di dalam agama yang dianutinya gagal dijawab secara logik dan realistik.

Justeru, perasaan was-was dan curiga mula timbul di benak fikiran dan jauh di sudut hati Mohd. Khairi atau nama asalnya sebelum ini, Yap Mon Fong terhadap kesucian dan kebenaran agama berkenaan.

"Hati saya menjadi bercelaru dan berada dalam dilema kerana jika Islam itu agama tidak elok kenapa begitu ramai penganutnya di seluruh dunia dan setiap sesuatu yang mempunyai kaitan dengan Nabi Muhammad juga menjadi ikutan utama dan tempat rujukan semua penganut agama Islam sehingga kini," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Mohd. Khairi memutuskan untuk membuka lembaran baru dalam hidupnya dengan melafazkan dua kalimah syahadah pada 3 Februari 1992, pada usia 29 tahun di hadapan kadi Pahang semasa berpangkat Kapten dan berkhidmat di Kuantan, Pahang.

"Kira-kira empat tahun sebelum itu, semasa perasaan was-was terhadap agama yang saya anuti sebelum ini timbul, saya mulai mengkaji secara mendalam secara perbandingan antara semua agama lain termasuk membaca pelbagai genre buku mengenai Islam.

"Semakin mengkaji, kebenaran mengenai agama Islam terus menonjol apabila semua perbuatan ibadah dan kemusykilan tauhidnya walaupun kecil dapat dijawab dengan menyeluruh dan lengkap," jelasnya.

Mohd. Khairi berkata, kajian mendalam mendapati agama Islam langsung tidak mempunyai cacat cela malah ia mencakupi setiap cabang kehidupan manusia daripada mula ditiupkan roh hingga mati sebelum dibangkitkan semula pada Hari Pembalasan.

"Keburukan yang dimomokkan berpunca akibat kelemahan penganutnya kerana tidak berpegang kepada ajaran sebenar Islam yang diajar oleh al-Quran dan hadis," katanya.

Mohd. Khairi bertemu jodoh dengan Siti Fatihah Sidek, 44, seorang guru pada 25 Mei 1997 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Siti Nabilah yang kini berusia sembilan tahun.

Menceritakan kembali saat selepas pengislamannya, beliau berkata, perkara itu disorokkan selama tiga tahun sebelum ibu bapa dan adik-beradiknya akhirnya menerima dengan baik pengislamannya itu.

"Saya masih pulang ke rumah keluarga tetapi cuba mengelak menjamah makanan tidak halal yang dimasak oleh ibu. Saya akan cari pelbagai alasan, antaranya sudah makan semasa di tempat kerja, nak keluar jumpa kawan hingga menyebabkan ibu terperasan sesuatu telah terjadi kepada saya," katanya.

Kata beliau, ketika ibunya mengetahui mengenai pengislamannya itu, hatinya amat sedih dan kecewa kerana baginya apabila memeluk Islam bermakna menjadi Melayu dan segala hubungan kekeluargaan akan terputus.

Akhirnya, berkat doa yang tidak pernah putus-putus dan akhlak menghormati orang tua telah menyejukkan hati mereka sehingga dapat menerimanya.

"Selama itu, walaupun mereka tidak senang dengan saya tetapi saya tetap menziarahi mereka termasuk semasa perayaan dan majlis keramaian, malah saya juga membawa isteri dan anak saya menziarahi mereka.

"Islam mengajar kita menjadi manusia berguna dan setiap ibu hanya inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka dan mereka tidak akan sanggup melihat darah daging mereka menjadi jahat," katanya.

Sementara itu, Mohd. Khairi juga mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap ilmu apabila memperuntukkan kira-kira RM500 sebulan untuk membeli pelbagai genre buku ilmiah termasuk mengenai Islam hasil karangan ulama muktabar.

Beliau yang amat mementingkan disiplin hasil asuhan tentera juga mempunyai pelbagai pengalaman menarik seperti menyaksikan sendiri pembunuhan etnik Islam yang berlaku di Bosnia Herzegovina semasa bertugas di negara Balkan itu selama enam bulan pada tahun 1996.