Renungan




Monday, March 23, 2009

PRINSIP ILMU AL QIRAAT

1)Takrif :

Satu ilmu tentang cara untuk menyebut kalimah-kalimah Al-Quran berserta dengan kepelbagaian padanya dengan disandarkan kepada periwayatnya.

2)Tajuk perbincangan :

Kalimah-kalimah Al-Quran dari sudut keadaan dalam menyebutnya. Perkara yang dibincangkan adalah seperti mad dan qasr, idgham dan izhar dan sebagainya.

3)Tujuan :

1.Memelihara kesucian Al-Quran.
2.Mengetahui apa yang dibaca oleh setiap imam qurra' serta dapat membezakan manhaj setiap imam. Dan lain-lain lagi.

4)Kelebihannya :

Diantara semulia-mulia ilmu kerana kaitannya dengan kalam Allah.

5)Namanya :

Ilmu Al-Qiraat (القراءات ) lafaz jamak kepada ( القراءة ) bermakna wajah yang dibaca.

6)Sandarannya :

Daripada sunnah dan ijmak. Juga dikatakan daripada riwayat yang sohih dan mutawatir daripada imam-imam qiraat daripada rasulullah S.A.W.

7)Hukum Syarak :

Fardhu kifayah belajar dan mengajar.

8)Masalah-masalahnya :

Kaedah-kaedah tertentu seperti setiap 2 huruf hamzah yang berada dalam satu kalimah ( ءألد , ءأنذرتهم ) dibaca dengan tashil oleh Hijaziyyun.









APAKAH HUBUNGAN DI ANTARA AL-QURAN DAN AL-QIRAAT ?

Ulama berselisih pendapat dalam persoalan adakah kedua-duanya merupakan perkara yang sama atau sebaliknya.
Imam Badruddin Azzarkashi menyatakan bahawa Al-Quran dan Al-Qiraat adalah 2 hakikat yang berlainan. Ini kerana Al-Quran adalah wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah saw sebagai mukjizat dan keterangan. Sebaliknya Al-Qiraat pula adalah kepelbagaian lafaz-lafaz wahyu itu pada huruf dan kaedah pembacaan seperti takhfif dan tashdid. Al-Qiraat juga tidak dapat tidak diambil melalui proses talaqqi dan mushafahah.
Ad Doktor Muhammad Salim Muhaisin pula berpendapat bahawa Al-Quran dan Al-Qiraat adalah dua hakikat dengan satu makna. Berdasarkan Al-Quran adalah masdar yang seerti dengan Al-Qiraah. Al-Qiraat pula jamak kepada Al-Qiraah. Maka bagi beliau kedua-duanya adalah mempunyai satu makna.

"سبعة أحرف" TUJUH HURUF

Al-Quran Turun Dengan ' Tujuh Huruf '

Terdapat beberapa hadis yang menerangkan perkara tersebut, diantaranya :

روى البخارى و مسلم فى صحيحيهما عن ابن عباس رضى الله عنهما أنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : (( أقرأنى جبريل على حرف فراجعته , فلم أزل أستزيده ويزيدنى حتى انتهى إلى سبعة أحرف ))

روى البخارى و مسلم أيضا ( واللفظ للبخارى ) أن عمر بن الخطاب رضى الله عنه قال (( سمعت هشام بن حكيم يقرأ سورة الفرقان فى حياة رسول الله صلى الله عليه وسلم , فاستمعت لقراءته فإذا هو يقرؤها على حروف كثيرة , لم يقرئنيها رسول الله صلى الله عليه و سلم فكدت أساوره فى الصلاة , فانتظرته حتى سلم , ثم لببته بردائه , فقالت : من أقرأك هذه السورة التى سمعتك تقرأ ؟ قال أقرأنيها رسول الله صلى الله عليه و سلم . فقالت له : كذبت , فوالله إن رسول الله صلى الله عليه و سلم أقرأنى هذه السورة التى سمعتك تقرؤها , فانطلقت أقوده إلى رسول الله صلى الله عليه و سلم فقالت : يا رسول الله إنى سمعت هذا يقرأ بسورة الفرقان على حروف لم تقرئنيها , وأنت أقرأتنى سورة الفرقان , فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : (( أرسله يا عمر. اقرا يا هشام . فقرأ عليه القراءة التى سمعته يقرؤها قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : (( هكذا أنزلت . ثم قال رسول الله صلى الله عليه و سلم (( اقرا يا عمر)) فقرأت القراءة التى أقرأنى , فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم : (( كذلك أنزلت إن هذا القرءان أنزل على سبعة أحرف فاقرأوا ما تيسر منه ))

Makna Huruf

Huruf dari sudut bahasa mempunyai banyak makna. Diantaranya :

1. Hujung sesuatu { ومن الناس من يعبد الله على حرف }
2. Huruf hijaiyyah
3. Sebahagian sesuatu atau satu pihak.
4. Bahasa atau lahjah sesuatu bahasa.
5. Wajah-wajah qiraat yang terdapat dalam Al-Quran.

Yang Dikehendaki Dengan Tujuh Huruf Di sini Ialah….

Ulamak berselisih pendapat dalam memberi pengertian " سبعة أحرف " dalam hadis yang telah lalu. Di antara pendapat mereka :

1. Tujuh bahasa daripada bahasa-bahasa arab dengan memberi satu makna.
2. Tujuh bahasa daripada bahasa-bahasa arab dan keseluruhan wajah bagi kalimah-kalimah tidak terkeluar daripada 7 bahasa.
3. Suruhan, tegahan, janji baik, janji buruk, perbantahan, kisah-kisah dan perumpamaan. Atau suruhan, tegahan, halal, haram, muhkam, mutashabih, dan perumpamaan.
4. Tujuh kepelbagaian wajah yang merangkumi. Pendapat Ibnu Al Jazari.
1)Kepelbagaian pada baris tanpa melibatkan perubahan pada makna dan bentuk tulisan. {يحسب } dengan fathah dan kasrah huruf sin.
2)Kepelbagaian pada baris melibatkan perubahan pada makna sahaja {فتلقى ءادم من ربه كلمت } dengan rafa' pada ءادم dan nasab pada كلمت atau dengan sebaliknya.
3)Kepelbagaian pada huruf melibatkan perubahan pada makna tidak pada bentuk tulisan. {تتلوا , تبلوا }.
4)Kepelbagaian pada huruf melibatkan perubahan pada bentuk tulisan tidak pada makna. {الصراط , السراط }.
5)Kepelbagaian pada huruf dan bentuk tulisan { يأتل , يتال }.
6)Kepelbagaian dengan mendahulukan dan mengakhirkan { وقاتلوا وقتلوا }
7)Kepelbagaian dengan menambah dan mengurangkan { ووصى , و أوصى }

5. Tujuh wajah yang berbagai-bagai mencakupi kepelbagaian Qiraat. Pendapat Imam Fakhruddin Ar Razi.
1)Kepelbagaian pada kata nama sama ada dengan tunggal atau jamak seperti { والذى لأمانتهم و عهدهم راعون }
2)Kepelbagaian pada wajah-wajah I'rab seperti { فتلقى ءادم من ربه كلمت}
3)Kepelbagaian pada tasrif seperti {فقالوا ربنا باعد بين أسفارنا }
4)Kepelbagaian dengan mendahulukan dan mengakhirkan seperti {أفلم ييأس, فيقتلون ويقتلون }
5)Kepelbagaian dengan menukarkan. Sama ada huruf dengan huruf atau kalimah dengan kalimah seperti {وانظر إلى العظام كيف ننشزها } {كالعهن المنفوش }
6)Kepelbagaian dengan menambah dan mengurangkan seperti {وأعد لهم جنت تجرى تحتها الأنهر }
7)Kepelbagaian lahjah dengan tafkhim dan tarqiq, fathah dan imalah, izhar dan idgham, tashil, ishmam dan sebagainya.

Hikmah Turunnya Al-Quran Dengan Tujuh Huruf

1)Menjadi dalil terpeliharanya kitab Allah daripada perubahan dan penyelewengan.
2)Sebagai keringanan kepada umat Islam dalam membacanya.
3)Menyatukan umat Islam kepada lisan yang satu iaitu Quraish ( Al-Quran diturunkan dengan bahasa Quraish). Dan sebagainya…

Adakah Mushaf Uthmani Mengandungi Ketujuh Tujuh Huruf ?

Ulamak berselisih pendapat.

Pertama : Sekumpulan daripada fuqaha' , qurra' dan mutakallimin berpendapat bahawa mushaf uthmani mengandungi ketujuh-tujuh huruf. Alasan mereka ialah tidak boleh diabaikan tujuh huruf dalam meriwayatkan Al-Quran kerana bersama-samanyalah Al-Quran diturunkan.
Kedua : Jumhur ulamak salaf dan khalaf bahawa mushaf uthmani mengandungi apa yang ditanggung oleh bentuk penulisannya daripada tujuh huruf. Ini lebih rajih.


PERKEMBANGAN ILMU QIRAAT

Setelah kita fahami bahawa Al-Quran turun dengan tujuh huruf dan kita juga sudah jelas apa yang dimaksudkan dengan tujuh huruf tersebut, kini kita akan ikuti perkembangan ilmu ini sejak zaman junjungan besar s.a.w.
Rasulullah saw membacakan kepada sahabat-sahabat baginda akan Al-Quran dengan tujuh huruf ini. Maka berlaku kepelbagaian dalam bacaan setiap sahabat. Bacaan yang dibaca oleh seorang sahabat tidak sama dengan sahabat yang lain. Lalu bertebaranlah para sahabat menyebarkan agama Allah. Disebabkan kepelbagaian itu generasi tabi'in juga mengalami perkara yang sama. Begitulah seterusnya sehinggalah sampai kepada zaman Imam-imam yang agung. Mereka telah menyusun semula Qiraat dan mengembangkannya dengan lebih tersusun.

Bilakah Bermulanya Penurunan Al-Qiraat

Persoalannya adakah semasa Rasulullah saw di Makkah ataupun di Madinah ? Ada 2 pendapat.
Pertama : Ketika di Makkah bersama dengan bermulanya penurunan Al-Quran. Pendapat ini berdasarkan bahawa sebahagian besar surah Al-Quran adalah Makkiyyahdan pada surah-surah tersebut terdapat wajah qiraat yang terdapat dalam surah-surah Madaniyyah.

Kedua : Diturunkan di Madinah selepas hijrah rasul. Seperti diketahui bahawa selepas hijrah ramai manusia telah memeluk Islam. Mereka adalah daripada pelbagai bangsa dengan berbagai-bagai dailek dan bahasa. Maka Al-Qiraat sebagai kemudahan kepada umat Islam bagi membaca Al-Quran dengan tujuh huruf.

Siapakah Yang Mula Membukukan Ilmu Qiraat ?

Ahli sejarah telah menyebutkan bahawa yang paling awal mengarang ilmu ini ialah ABU UBAID AL QASIM IBN SALAM (233H) yang telah mengarang kitab Qiraat dengan 25 orang qari.
Ada juga pendapat mengatakan seawal-awal pengarang kitab dalam qiraat sab'ah ialah AL HUSAIN IBN OSMAN IBN THABIT AL BAGHDADI AL A'ZIR (378H)

PEMBAHAGIAN Al-QIRAAT DARI SUDUT SANAD

Al-Qiraat jika ditinjau dari sudut sanad terbahagi kepada enam :

1)Al Mutawatir
Qiraat yang diriwayatkan oleh sekumpulan dari sekumpulan yang tidak mungkin persepakatan mereka di atas pendustaan ; contohnya Qiraat yang disepakati daripada imam-imam yang tujuh.
2)Al Mashhur
Qiraat yang sah sanadnya kerana periwayatnya adil, mempunyai kekuatan ingatan dan meriwayatkan daripada periwayat yang sepertinya. Begitu juga Qiraat itu berbetulan dengan bahasa arab dan salah satu daripada mushaf-mushaf uthmani. Sama ada daripada Qiraat Sab'ah atau A'sharah. Juga Qiraat tersebut mashhur di kalangan qurra' dan tidak di kira sebagai salah.
Contohnya , Qiraat yang diriwayatkan daripada imam yang tujuh tetapi tidak disepakati. Ada periwayat yang meriwayatkan Qiraat yang tidak diriwayatkan oleh yang lain.
Hasil agung dalam kedua-dua bahagian ini adalah seperti At Taisir bagi Imam Ad Dani, As Shathibiyyah dan Toyyibatun Nashri.
Kedua-dua bahagian ini adalah dibaca dengan wajib beri'tikad akan kebenarannya dan tidak boleh mengingkarinya.

3)As Sohih
Qiraat yang sah sanadnya tetapi bersalahan dengan rasm atau bahasa arab atau tidak mashhur seperti yang disebutkan.
Bahagian ini tidak dibaca dan tidak wajib beri'tikad akan kebenarannya. Seperti {متكئين على رفرف خضر وعبقري حسان , لقد جاءكم رسول من أنفسكم }

4)As Shaz
Qiraat yang tidak sah sanadnya seperti Qiraat Ibn As Sumaiqi' {فاليوم ننحيك ببدنك لتكون لمن خلفك ءاية}

5)Al Maudu'
Qiraat yang diriwayatkan kepada periwayatnya tanpa ada asas.

6)As Shabih Bil Mudraj
Qiraat yang ditambah kerana menafsirkan ayat seperti Qiraat Saad Ibn Abi Waqqas {وله أخ أو أخت من أم }