Renungan




Friday, April 3, 2009

Assalamualaikum warahmatullah ...

Dunia teknologi semakin hari semakin bercambah dan terkini. Walaupun teknologi terkini mampu membuatkan manusia hampir terpesona dan terpegun tetapi teknologi Allah tidak dapat didangkal atau dipertikaikan. Al-Quran, contohnya. Sebuah kitab yang mengandungi Kalamullah yag suci yang berusia hampir 1400 tahun masih terpelihara hingga kini.

Firman Allah Taala bermaksud: "Dan sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang memeliharanya."

(al-Hijr: 9)

Sehingga kini jika kita perhatikan, gerakan-gerakan pihak musuh sentiasa berusaha mengubah, menambah dan memalsukan ayat-ayat suci al Quran tetapi tidak berjaya. Kita pernah digemparkan satu ketika dengan berita pihak tertentu membuat surah-surah palsu di internet, tetapi akhirnya dapat dibendung dengan bantuan Allah Taala dan para al-Hafiz.

Firman Allah maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain."

(al-Israa': 88)

 

Kepakaran dan kecekapan al-Hafiz ini seharusnya kita banggakan. Bukan mudah untuk mereka memelihara Kalamullah di dada dan fikiran. Malangnya, hari ini mereka dipinggir dan disisih kerana mereka ini tidak sesuai mengikut peredaran zaman dan situasi. Sungguh mengecewakan!

Sabda Rasulullah s.a.w: "Orang-orang yang mulia di kalangan umatku ialah penghafaz Al-Quran."

(HR Tirmizi)

Tanpa mereka (Al-Hafiz), kita tidak dapat membaca, melihat dan menikmati keindahan dan kesucian Kalamullah yang Maha Agung. Bantuan,kerjasama dan galakan dari semua pihak harap diperlukan agar golongan ini tidak di anak tirikan oleh sebahagian tertentu. Demi Kalamullah yang suci, mereka harus dijaga dan dibantu.