Renungan




Wednesday, April 15, 2009

Gerakan mahasiswa dan surah 'Abasa

As-syahid Syed Qutb Rahimahullah dalam karya agungnya Tafsir Fi Zilal Quran menceritakan asbabun nuzul (sebab turun ayat) surah 'Abasa:

Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu tidaklah dapat melihat Rasulullah s.a.w. yang memasamkan muka kepadanya semasa baginda asyik memberi tumpuan kepada golongan pembesar Arab Quraisy yang menjadi target "back bone" dalam menegakkan Daulah Islamiah di Madinah.

Rasulullah s.a.w. tidak silap dalam meletakkan aulawiyyat, memilih sasaran dakwah dikalangan mereka yang tegap ekonomi dan kuasa mereka, namun Allah tetap juga menegur baginda yang seolah terlupa kepada Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang punya ketulusan hati untuk berjumpa dengan baginda.

Kelihatan remeh

Peristiwa ini kelihatannya seperti kecil dan remeh sahaja, tidaklah sehebat kisah peperangan Badar atau segemilang peristiwa pembukaan Makkah. Namun sekecil apa pun yang dinukilkan Allah taala dalam firmanNya, tetap mempunyai hikmah yang begitu agung. Allah taala mengungkap dalam bentuk singgungan secara sinis tetapi telus.

Tanpa selindung lagi, Rasulullah s.a.w. ditegur sebagai ingatan yang berkekalan buat diri baginda dan ummatnya. Ingatan buat pengikut setia yang juga bakal meneruskan tugas dakwah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira darjat dan kedudukan. Ternyata impak dari peristiwa ini cukup besar.

Peristiwa ini memberi petunjuk samada di sudut akhlak, pendekatan dan strategi dakwah dalam pembinaan ummah dan negara islam itu sendiri.

Surah yang dirakam secara "gentleman" begitu rupa, zahirnya seolah bakal mencalar imej dan reputasi Rasulullah s.a.w. Namun pengajarannya itulah yang perlu dihirup sepenuhnya. Terutama kepada penerus risalah agung ini seperti pimpinan gerakan islam mahupun pimpinan negara, wajar sekali membuat penelitian dalam mengambil kira sasaran dakwah tanpa memilih bulu.

Tiada siapa nafikan, "pendedahan berani" dalam surah ini begitu berat untuk ditanggung jika ianya berlaku kepada kita yang berjiwa kerdil ini. Ianya ditayangkan sepanjang zaman, dibaca sepanjang zaman dan diperdengarkan kepada orang ramai di sepanjang zaman.

Namun bagi Rasulullah s.a.w. yang berjiwa besar itu, sudah tentu baginda pasrah dan redha terhadap teguran Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Baginda sangat berkeyakinan Al-Quran itu tidak lain adalah pedoman kepada umat baginda jua.

Inilah juga bukti kasih sayang Allah taala yang saban hari terus menerus mengetuk hati nurani insan. Betapa perlunya bashirah atau celik hati nurani ini dibuka dan disingkap hijabnya untuk memahami, mengingati dan menyedarkan kita terhadap isi kandungan al-Quran.

Kesilapan sendiri

Juga membuktikan Al-Quran bukanlah ciptaan baginda. Mana mungkin seorang penulis akan menulis kesilapan diri sendiri secara terbuka dan terus terang begitu.

Untuk apa surah ini perlu direnungi sedalamnya? Terutama kepada pimpinan gerakan islam dan negara. Sudah tentulah hikmah Allah Taala menggambarkan peristiwa setelus ini menuntut pemerhatian mendalam kepada kita semua dalam mengharungi perjuangan islam yang penuh simpang siur ini.

Sememangnya manusia mudah dan cepat terkesan dengan kehebatan dan kekuasaan yang tiba-tiba terjongol di depan mata. Pembesar mana yang tidak teruja apabila dapat berjumpa dan ngobrol-ngobrol dengan pembesar dan saudagar-saudagar yang lain? Dan pembesar mana yang begitu betah untuk melayan anak-anak mentah dan budak-budak hingusan?

Lantas mereka sering memandang remeh dan enteng sesuatu yang dikira masih jauh dan mentah. Kelompok pimpinan negeri mahupun negara merasakan kuasa dan jawatan dalam pemerintahan mereka adalah suatu singgahsana yang begitu gah dan menawan hati.

Telahan mudah kepada mereka ini: "Mungkin mereka mengagak, dengan mengendung kuasa, mereka dapat membuat perubahan dengan menukar sistem, undang-undang dan polisi negara." Ya, kelihatan ada benarnya.

Namun barang diingat, kelangsungan mana-mana sistem dan polisi negara amat bergantung kepada penggerak dan pendokongnya. Siapakah lagi penggerak dan pendokongnya yang paling ampuh dan diharapkan kalau bukan anak muda yang berpendidikan?

Kepimpinan kelompok mahasiswa

Mutakhir ini, kelihatan jarang-jarang atau kadang-kadang sahaja kelompok mahasiswa ini diberi perhatian dan dibangunkan kepimpinan mereka. Mahasiswa kini seakan diabaikan, kehilangan punca, semakin lesu dan dinafikan suara dan jeritan mereka.

Di pihak Aspirasi pula, mereka terlalu dimanjakan dan disesatkan arah tuju perjuangan tulen mereka oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Seakan lembu yang diikat hidungnya layaknya. Peruntukan KPT dihambur sesuka hati walaupun untuk projek pesta-pestaan.

Satu pihak diabaikan dan satu pihak disesatkan!

Soalnya, di manakah pula kecacatan anggota fizikal mahasiswa sehingga mereka juga tiada tempat dalam senarai keutamaan kelompok pimpinan? Mahasiswa tidak dipandang walaupun dengan sebelah mata. Isu-isu kebajikan mereka seperti biasiswa, PTPTN, Pilihan Raya Kampus, AUKU begitu menekan alam kampus. Apatah lagi isu kepimpinan dan daya juang yang semakin terperosok, hilang arah, tidak diketahui hujung pangkalnya.

Adakah masyarakat negara ini dapat merasai kehadiran dan kepimpinan mahasiswa? Kalau setakat terpegun dan puas dengan program baktisiswa, keluarga angkat yang dah lapuk itu, manakan mampu mungubah landskap kepimpinan negara. Malah mereka kerap sekali dimomokkan dengan masalah-masalah sosial dan pembawa masalah kepada masyarakat.

Mahasiswa adalah sasaran itu. Ya, mereka adalah kelompok yang tidak dbela kerana dilihat masih mentah dan belum diketahui bagaimana masa depan dan hasilnya nanti. Sedangkan suatu ketika dahulu, (biarlah, orang nak kata mengungkit) ketika sesetengah kelompok pimpinan pembangkang pernah ditimpa hiba, duka nestapa, ramai juga dikalangan mahasiswa yang tampil membela di jalanan, menjerit erti keadilan dan menyanggah kezaliman.

Memang manusia yang singkat akal budinya mudah tersilau dengan tahta yang segera dan mereka tidak begitu sabar untuk menghayun buaian seorang bayi kerana ianya amat memenatkan malah cukup melecehkan.

Menghisab kebenaran

Ada kalangan teman-teman mahasiswa bertanya soalan yang kelihatan main-main tapi wajar juga dihisab kebenarannya, mengapa tuntutan untuk memenangi pilihanraya kecil lebih kuat pekikannya berbanding usaha bersungguh untuk membina dan membela jenerasi pelapis yang bakal menggegarkan negara suatu hari nanti?

Apa jadi dengan mahasiswa di KUIS dan UNISEL? Masih hanyut dengan gejala sosial atau masih takut-takut nak susun program usrah? Sedang kuasa sudah di tangan!

Masing-masing berhak memberi jawapan yang berbeza.

Apa pun jawapannya, jika ketidakpedulian sejenak Rasulullah s.a.w. terhadap Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu pun ditegur Allah taala!

Apakah pimpinan gerakan islam dan pimpinan negeri yang jelas mengabaikan nasib mahasiswa kini tidak akan ditegur Allah taala di akhirat nanti?

Tak salah sesekali muhasabah diri. _