Renungan




Wednesday, April 1, 2009

Guru Berpolitik Boleh Jejas Pelajar

Malaysiakini. Mar 30, 09 10:09am

Cadangan naib presiden Umno membenarkan guru aktif semula berpolitik dibimbangi boleh menimbulkan masalah, termasuk menjejaskan pelajar apabila guru terbahagi dua - prokerajaan atau pembangkang.

Saranan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga menteri pelajaran, dipersoalkan oleh Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang menganggap rancangan Menteri Pelajaran itu bakal menimbulkan masalah kelak, lapor Bernama.

"Saya khuatir tumpuan sedikit sebanyak terjejas jika guru-guru dibenarkan berpolitik. Ini kerana guru kini sangat berbeza dengan guru zaman dulu.

"Lagipun, kita tak pasti guru itu prokerajaan atau anti kerajaan, jadi nanti timbul salah faham politik dan pelajar pula yang akan jadi mangsa," yang dipetuanya Abdul Karim Abdullah dipetik berkata.

Tambahnya, rancangan itu wajar diperhalusi dan dibincangkan ke peringkat akar umbi kerana ia bukan isu remeh.

Semasa menggulung perbahasan mengenai isu pendidikan pada perhimpunan agung Umno kelmarin, Hishammuddin mencadangkan guru kumpulan A diberi kelonggaran untuk berpolitik.

Bagaimanapun beberapa pihak berpendapat langkah itu wajar.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan tersebut bagi membuka peluang berpolitik kepada guru, lapor agensi berita itu lagi.

"Ini merupakan perkembangan positif yang diberikan kepada guru, jadi lebih ramailah golongan profesional dan berpendidikan akan terlibat secara langsung.

"Kalau boleh biarlah guru sahaja yang terlibat, bukan pegawai kerana kelak tidak mahu ada masalah di kalangan pegawai," presiden NUTP  Hashim Adnan dilaporkan berkata.

Namun Hashim tidak menolak ada risiko yang bakal timbul, maka beliau mencadangkan satu garis panduan yang jelas dan nyata mengenainya dikeluarkan.

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Nardin Awang turut bersetuju dengan cadangan Hishammuddin itu dan berharap ia dilaksanakan.

"Jika diimbas semula dalam sejarah politik negara, guru adalah pencetus dan penggerak Umno. Guru memainkan peranan kerana sebagai pendidik, guru mempunyai pengaruh untuk memandu pemikiran masyarakat.

"Jadi cadangan Hishammuddin untuk membenarkan guru kumpulan A berpolitik amatlah baik. Cuma perlu dibuat pindaan tentang perkara ini kerana sekarang terdapat larangan guru menyertai politik," katanya.