Renungan




Thursday, June 4, 2009

Kawalan Teks Al-quran

Objektif

Memastikan bahawa semua teks dan bahan Al-Quran yang dicetak, diimport dan diedar dalam negara ini tidak mengandungi sebarang kesilapan demi menjaga kesucian Al-Quran.

Peraturan Yang Perlu Dipatuhi Individu/Syarikat Yang Ingin Menerbit, Mencetak, Mengimport Dan Mengedar Al-Quran

Di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 326 1986 (pindaan) 1998;


1. Permohonan Lesen Mencetak Teks Al-Quran

Di bawah seksyen 5 (1);


“Tiada seorangpun boleh mencetak atau membantu dalam pencetakan, atau menerbitkan atau membantu dalam penerbitan, sesuatu teks al-Quran tanpa suatu lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga, dan Lembaga boleh, menurut budi bicara mutlaknya, memberikan lesen itu, enggan memberikan lesen itu, atau membatalkan lesen itu, atau memberikan lesen itu tertakluk kepada syarat-syarat yang diendorskan pada lesen itu”.

Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


2. Permohonan Perakuan Betul Pruf Akhir Teks Al-Quran

Di bawah seksyen 6(1);

“Tidak seorangpun boleh mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran melainkan jika pruf akhir teks al-Quran itu telah dikemukakan kepada Lembaga dan Lembaga telah memperakui bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalam pruf akhir itu adalah betul, sama ada bagaimana yang dikemukakan pada asalnya atau sebagaimana yang dibetulkan oleh Lembaga”.

(2) Perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah mengandungi nombor rujukan yang sesuai dan hendaklah menyatakan pembetulan-pembetulan jika ada, yang dibuat Lembaga kepada atau berkenaan dengan teks al-Quran itu”.

Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebhi tiga tahun atau kedua-duanya.


3. Permohonan Mengimport Al-Quran

Di bawah seksyen 7(1);

“Tidak seorangpun boleh mengimport untuk dijual atau diedarkan sesuatu teks al-Quran yang telah dicetak di luar Malaysia melainkan jika sebelum pengimportan itu itu satu salinan telah dikemukakan kepada Lembaga bersama dengan suatu akuan berkanun yang menyatakan bahawa dia bermaksud mengimport teks-teks al-Quran lain yang sama daripada setiap salinan yang telah dikemukakan dan Lembaga telah memperakui secara bertulis bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalamnya adalah betul”.

Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.


4. Paparan Perakuan Betul Pruf Akhir Pada Teks Al-Quran

Di bawah seksyen 8(1):

“Tiap-tiap teks al-Quran yang dicetak di Malaysia atau diimport ke dalam Malaysia selepas Akta ini berkuatkuasa hendaklah menunjukkan dengan ketara pada helai yang pertama atau yang akhir teks itu maklumat yang berikut:

(a) nama dan alamat pencetak dan penerbitnya atau, dalam hal sesuatu teks al-Quran yang diimport, nama dan alamat pengimportnya;

(b) alamat tempat ia dicetak;

(c) suatu pernyataan yang bermaksud bahawa ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalam teks itu telah diperakui betul oleh Lembaga menurut seksyen 6 atau 7 ; dan

(d) nombor rujukan perakuan yang relevan.

Tidak seorang pun boleh mencetak atau membantu dalam pencetakan, atau menerbitkan atau membantu dalam menerbitkan, sesuatu teks al-Quran yang tidak mematuhi kehendak-kehendak subseksyen (1) atau yang di dalamnya mana-mana maklumat atau pernyataan yang dikehendaki ditunjukkan di bawah subseksyen (1) adalah palsu.

Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (2) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.


5. Cetakan Teks Al-Quran yang Berbeza


Di bawah seksyen 9(1);


“Tidak seorangpun boleh mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran yang berbeza, berkenaan dengan ayat-ayat al-Quran yang terkandung di dalamnya, daripada ayat-ayat yang bersamaan yang diperakui betul oleh Lembaga berdasarkan pruf akhir teks al-Quran itu di bawah seksyen 6”.

Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.


6. Pelupusan Teks dan Bahan Al-Quran


Di bawah seksyen 11 (1);

“Seseorang yang mencetak sesuatu teks al-Quran atau bahan al-Quran hendaklah mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan bahawa apa-apa bahan buangan yang di atasnya tercetak atau terdapat sesuatu ayat al-Quran dimusnahkan dengan serta merta dengan membakarnya di suatu tempat bertutup yang tidak dapat dimasuki oleh orang awam dan tidak meninggalkan premis pencetakan itu dengan apa-apa cara pun, kecuali semasa ia dipindahkan ke suatu tempat untuk dimusnahkan sebagaimana tersebut dahulu”.

Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) dan (2) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.



7. Tidak Boleh Menerbitkan Teks Al-Quran Yang Mengandungi Kesilapan

Di bawah seksyen 14 (1);

“Tiada seorangpun boleh mencetak atau menerbitkan sesuatu teks al-Quran atau bahan yang mengandungi apa-apa kesilapan berkenaan dengan sesuatu ayat al-Quran di dalamnya”.

Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara yang tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Pengecualian Akta 326


1) Seksyen 25 (1) Tiada apa-apa dalam Akta ini terpakai bagi pencetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran atau penyebaran sesuatu teks al-Quran atau bahan al-Quran oleh Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau sesuatu badan berkanun yang diberikuasa oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan.


2) Menteri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan seseorang atau sesuatu teks al-Quran atau bahan al-Quran daripada pemakaian semua atau mana-mana peruntukan Akta ini.

Dokumen Permohonan


Permohonan Lesen Mencetak Teks Al-Quran.

i. Borang Permohonan “Borang A” (Peraturan 2 (1)).

ii. Borang Maklumat Tambahan;

  • Salinan Lesen Cetak yang sah;
  • Salinan Surat Pendaftaran Syarikat;
  • Senarai Ahli Lembaga Pengarah;
  • Senarai Nama Pekerja Yang Dibayar Caruman EPF;
  • Salinan Butir-butir Pemegang Saham Syarikat;


(Borang 24 Akta Syarikat 1965).

  • Salinan Sijil Keahlian Persatuan Pencetak (jika ada);
  • Senarai mesin yang digunakan dalam kerja pencetakan/ kegunaan/ bilangan.


Permohonan Perakuan Betul Pruf Akhir

i. Dua pruf akhir teks/ bahan/ petikan al-Quran yang asal.

ii. Borang D – Akuan Berkanun Pengimport di bawah seksyen 7(10) yang telah ditandatangani oleh Yang DiPertua Mahkamah Seksyen/ Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah (bagi pemohon yang mengimport/ teks/ bahan/ petikan al-Quran sahaja).

iii. Borang Maklumat Tambahan Permohonan Penyemakan teks/ bahan/ petikan al-Quran – Borang A (2).

iv. Cek/ Wang Kiriman Pos/ Wang Pos bernilai RM 300.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus sahaja) atas nama Ketua Setiausaha Kemeneterian Keselamatan Dalam Negeri sebagai bayaran (fee) bagi penelitian dan penyemakan tersebut.

v. Surat kebenaran untuk mencetak/ menerbit semula teks/ bahan/ petikan al-Quran dari pencetak/penerbit asal.


Kriteria-Kriteria Utama Dalam Menentukan Kedudukan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam

  • Tidak Mengandungi Perkara-perkara Yang Menyentuh Kesucian Islam.
  • Tidak Mempropagandakan Akidah, Hukum dan Ajaran Yang Bercanggah Dengan Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
  • Tidak Mempersendakan Dan Mempersoalkan Kewibawaan Sumber-sumber Hukum Islam Yang Utama Iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias.
  • Tidak Bercanggah Dengan Pegangan Mazhab Ahli Sunah Wal-Jamaah.
  • Tidak Bertentangan Dengan Fatwa Atau Pendapat Jumhur Ulama’.
  • Tidak Mengandungi Unsur-unsur Israiliat, Khurafat Dan Kebudayaan Karut.
  • Tidak Menimbulkan Keraguan Dan Kegelisahan Awam.
  • Tidak Mengandungi Penulisan Ayat-ayat Al-Quran Dengan Tulisan Selain Daripada Bahasa Arab.
  • Tidak Menyalahi Fakta-Fakta Sejarah.
  • Tidak Mengilustrasikan Gambar-gambar Para Nabi, Sahabat Yang Empat, Malaikat Serta Memperwatakkan Gambar-gambar Tersebut.