Renungan




Sunday, October 18, 2009

Anak Luar Nikah @ Haram Membiak Dengan Pantas




KUALA LUMPUR: Amalan **** bebas di kalangan remaja pada masa ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada dua rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 sehingga September lalu.

Jika diambil kira statistik rumah perlindungan lain di seluruh negara, kes yang tidak dilaporkan dan kejadian buang bayi yang berlaku hampir setiap hari, angka sebenar remaja hamil luar nikah pasti meningkat berlipat kali ganda.

Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata sejak beliau membuka rumah perlindungan itu 21 tahun lalu yang secara khusus menguruskan kebajikan wanita hamil luar nikah, secara purata 191 bayi tak sah taraf dilahirkan di Kewaja setiap tahun atau 16 bayi sebulan.

“Lebih membimbangkan, ketika jumlah kes yang saya kendalikan meningkat, usia wanita hamil luar nikah itu makin menurun kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” katanya.

p/s: ingatlah masa akhirat nanti ape yg anda akan terima...

SELEPAS sekian lama tidak mendapat liputan media massa, jenayah buang bayi kini kembali menjadi penghias muka depan akhbar utama. Hakikatnya, perbuatan kejam itu tidak akan berhenti selagi ada manusia bertopengkan syaitan yang tidak pernah insaf daripada noda yang dilakukan.

Selepas berseronok melakukan hubungan zina diharamkan, mereka terbabit pula melakukan pembunuhan kejam. Malah, bagi mereka buang bayi tidak ubah seperti buang sampah yang sudah busuk dan tidak lagi diperlukan.

Amalan hina itu lebih buruk daripada binatang dijadikan Allah dengan rasa kasih sayang dan belas kasihan terhadap darah daging sendiri. Bimbang malu atas keterlanjuran tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membunuh nyawa yang tidak berdosa. Malah, keadaan itu mendedahkan pelaku kepada jenayah membunuh dengan sengaja lalu mengundang kemurkaan Allah.

Masyarakat Arab jahiliah sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW pernah membunuh anak perempuan kerana malu dan dianggap tidak setanding dengan anak lelaki yang gagah dan boleh diajar berperang.

Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: "Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu." (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Tetapi kini, kejahatan manusia melampau naluri semula jadi seorang ibu yang sepatutnya menjadi belas serta sayang terhadap anak dilahirkan. Jantina bayi tidak lagi menjadi perhitungan, malah jika yang lahir pondan sekalipun, mahu dibuang atau dibunuh tetap akan dilakukan.

Manusia jenis apakah tergamak melakukan perbuatan keji seperti itu. Sungguh ia perlakuan manusia dirasuk iblis hingga akal tidak lagi dapat berfungsi dengan sempurna.