Renungan




Sunday, October 18, 2009

Cabul siswi IPTS

DENGKIL: Seorang lelaki gila **** dikesan menyamar sebagai pemandu teksi semata-mata untuk melampiaskan nafsu dengan mencabul siswi sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini, baru-baru ini.

Selain berpakaian lengkap dan berlagak seperti pemandu teksi, lelaki berkenaan bertindak licik dengan menukar nombor pendaftaran teksi yang digunakannya dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.

Setiausaha Kehormat Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad (KPPCB), Mohd Salleh Mat Zin, yang mendedahkan kejadian itu berkata, penjenayah terbabit menyamar sebagai pemandu teksi dan beroperasi di sekitar Cyberjaya, Putrajaya dan Dengkil.

“Dia dikesan bertindak demikian bagi mencari siswi kolej dan universiti di sini untuk dijadikan mangsa seksnya. Modus operandinya ialah mengambil kesempatan terhadap pelajar wanita yang berseorangan.

“Dalam kes yang kami terima, penjenayah itu cuba mencabul kehormatan seorang siswi, namun mangsa berjaya menyelamatkan diri dan penjenayah itu berjaya ditahan.

“Paling penting, kami berjaya membuktikan ‘pemandu teksi’ itu bukan ahli koperasi kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya koperasi terbabit di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusinya Zakuan Harun.

Mohd Salleh berkata, kejadian itu membuktikan semua pemandu teksi di Putrajaya, Cyberjaya dan Dengkil bersih daripada kes salah laku.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2005 KPPCB tidak pernah menerima aduan mengenai masalah disiplin membabitkan 150 ahlinya.

“Kami hanya memilih pemandu terbaik dengan mengadakan ujian pemilihan sebelum mengambil mereka bekerja, termasuk memastikan mempunyai sikap amanah, peramah, mematuhi undang-udang dan menjaga kebersihan.

“Tindakan itu penting dan selaras dengan objektif kami untuk melahirkan pemandu teksi berwibawa dan tidak dipandang rendah oleh masyarakat,” katanya.

Mohd Salleh berkata, pihaknya hanya menerima aduan mengenai kekurangan teksi dan perkara itu diperbaiki dengan memohon 50 lagi permit tambahan daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

“Kami percaya selepas permit diperoleh, masalah ini dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu majlis jamuan yang bermula dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu diserikan dengan kehadiran 25 anak yatim daripada Rumah Amal Anak Yatim Puchong, Selangor.