Renungan




Sunday, October 18, 2009

Pelakon veteran puja Kahar

PUTRAJAYA: Seorang artis veteran wanita yang terkenal dengan kelancangan mulutnya dalam beberapa filem dan drama, sedang diintip dan menjadi sasaran pihak berkuasa selepas dia bersama adiknya dipercayai menjadi ‘tali barut’ menyebarkan doktrin dan ajaran sesat Haji Kahar, sejak beberapa tahun lalu.

Malah, artis berusia 50-an terbabit menggunakan popularitinya sebagai pelakon veteran tersohor bagi mempopularkan ajaran sesat itu, terutama di kalangan saudara-mara terdekat serta rakan artis yang rapat dengannya.

Bukan itu saja, artis veteran terbabit memperoleh ‘ilmu’ berkenaan daripada saudara lelakinya yang juga seorang daripada lebih 50 pengikut tegar ajaran sesat Haji Kahar yang sedang diburu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk dipulihkan akidah.

Perkara itu didedahkan Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, selepas mendapat maklumat terkini daripada jiran kepada adik artis terbabit.

Sebelum ini, Harian Metro menyiarkan pengakuan seorang penyanyi lelaki irama reggae 80-an yang mendakwa menjadi pengikut ajaran sesat itu kerana yakin dengan ajaran Haji Kahar.

Beliau berkata, pihaknya memang mempunyai senarai pengikut ajaran berkenaan yang bakal ditahan untuk dipulihkan akidah dan ia turut membabitkan beberapa artis termasuk artis veteran yang juga kakak kepada seorang pengikut tegar ajaran sesat berkenaan.

“Kami memang terkejut dengan penemuan ini kerana tidak menyangka seorang daripada pengikut tegar ajaran itu adalah adik kepada artis terbabit yang juga dipercayai menjadi pengikut ajaran berkenaan.

“Pemberi maklumat juga mahu pihak berkuasa menahan segera artis terbabit berdasarkan pembabitannya dalam ajaran sesat berkenaan sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Shahrom berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kesahihan maklumat berkenaan yang dipercayai ada asasnya apabila mendapati adik artis terbabit adalah pengikut tegar dan setia kepada Abdul Kahar Ahmad yang sebelum ini mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, baru-baru ini.

Malah, katanya, berdasarkan maklumat itu juga, artis terbabit dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan yang agak rapat dengan Abdul Kahar.

Ketua kumpulan ajaran sesat terbabit dikenali sebagai Haji Kahar yang mengaku dirinya ‘Rasul Melayu’ sebelum menghilangkan diri selepas didakwa di mahkamah pada 2005, akhirnya ditahan Jais di Bandar Sungai Long, Selangor, pada September lalu.

Dia dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dan mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Ketua ajaran sesat berusia 59 tahun yang sudah mengeluarkan kenyataan bertulis melalui peguamnya, Zulkifli Yong, meminta pengikutnya bertaubat dan menghentikan ajaran batil dibawanya sebelum ini, bakal mengetahui hukuman bakal dikenakan terhadapnya pada 21 Oktober ini. Dia kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Shahrom berkata, siasatan Jais mendapati pengikut ajaran itu menggunakan pendekatan menyebarkan ajaran sesat yang dibawa di kalangan ahli keluarga terdekat yang mudah dipengaruhi.

Menurutnya, walaupun mempunyai senarai nama pengikut tegar ajaran itu, Jais yakin jumlah itu lebih ramai berdasarkan siasatan yang mendapati ada ahli keluarga pengikut tegar terbabit yang terpengaruh ajaran terbabit.

“Apa yang dapat dikesan, pengikut ajaran ini tidak mengguna atau menjawab ucapan salam diberikan umat Islam lain kepada mereka dan ia dikesan dalam pelbagai perbualan yang dibuat dengan beberapa pengikut yang ditahan atau yang ditemui sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, pengikut ajaran ini bijak menyembunyikan identiti kononnya mereka manusia baik dan bersopan walaupun sebenarnya mengikuti ajaran yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis.

Menurutnya, pengikut ajaran ini perlu dipulihkan bagi mengelak mereka menyebarkannya semula ajaran berkenaan walaupun selepas ketua mereka ditahan dan dijatuhi hukuman setelah didapati bersalah.

Oleh itu, katanya, Jais sedang menggerakkan usaha bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan pengikut ajaran terbabit jika mereka ingkar tampil untuk dipulihkan.