Renungan




Sunday, October 18, 2009

Remaja akui hamil 4 kali

SUNGAI PETANI: Usianya baru 14 tahun, namun seorang remaja perempuan dari Tanjung Dawai, mendakwa sudah empat kali mengandung hasil persetubuhan haram dalam tempoh dua tahun sejak 2007 akibat perbuatan durjana lelaki hidung belang yang gemar meratah gadis mentah tanpa belas kasihan.

Dua kandungan pertamanya gugur, kandungan ketiga terpaksa digugurkan bagi mengelak aib keluarga manakala kini remaja terbabit hamil tiga bulan angkara perbuatan seorang lelaki berusia 20 tahun dari daerah ini.

Penderitaannya itu didedahkan kepada anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) dan petugas sukarela Unit Gejala Sosial Negeri Kedah (Unggas) yang menemuinya di gerai makan kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin, selepas menerima aduan penduduk kampung.

Ketika ditemui Harian Metro semalam, remaja terbabit yang sudah berhenti sekolah sejak tahun lalu mendakwa, pertama kali mengalami keguguran pada 2007 iaitu ketika berusia 12 tahun selepas hamil akibat dirogol seorang lelaki dalam semak ketika menumpangnya pulang ke rumah.

“Selepas dirogol lelaki terbabit, saya amat tertekan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Bagaimanapun, kandungan itu gugur dan selepas itu saya berazam tidak mahu tertipu lagi,” katanya.

Menurutnya, dia nekad berhenti sekolah tahun lalu kerana tidak mampu, sekali gus memaksanya mencari kerja untuk membantu keluarga.

Remaja perempuan itu berkata, dia terpaksa mengambil keputusan itu kerana sudah putus asa walaupun masih berminat meneruskan persekolahan.

“Tiada sesiapa pun ketika itu membimbing saya untuk mengatasi masalah berkenaan, ditambah pula dengan pertengkaran antara ibu dan bapa disebabkan masalah kewangan.

“Saya menjadi buntu dan menerima nasihat salah daripada sesiapa saja dan akibatnya sekali lagi dianiaya lelaki yang menghamilkan saya buat kali kedua ketika berusia 13 tahun,” katanya.

Dia berkata, ibunya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sering pulang lewat malam, manakala bapanya seorang nelayan kecil yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Menurutnya, kehamilan kali kedua itu juga gugur sendiri dan dia terpaksa berdepan dengan masalah berterusan tanpa bantuan ibu bapa apatah lagi masyarakat sekeliling.

Katanya, ada ketika dia menangis sendirian dan berusaha menyelesaikan masalah itu daripada terus berpanjangan termasuk berdoa dan solat, namun dia tidak berdaya berikutan tiada bimbingan dan sokongan.

“Untuk melupakan masalah itu, saya bergaul dengan rakan lelaki dan perempuan di kawasan ini yang turut berhenti sekolah kerana masalah sama dan mula mengikut tabiat mereka menghidu gam selain mengambil bahan khayal lain seperti ganja.

“Akibatnya pada awal April lalu, saya terpaksa menggugurkan kandungan yang berusia kira-kira sebulan selepas hamil disebabkan pergaulan liar itu,” katanya.

Katanya, kini sekali lagi dia hamil tiga bulan selepas ditiduri seorang lelaki berusia 20 tahun dari kampung jiran sejak Julai lalu. Bagaimanapun berazam mahu menjaga kandungannya sehingga lahir.

Sementara itu, Penyelaras Unggas, Kamaruddin Kassim, berkata remaja perempuan itu sebelum ini pernah ditawarkan bersekolah asrama di sini, namun enggan kerana ingin berulang-alik.

“Bagaimanapun, Unggas akan membantu dan memantau perkembangan remaja perempuan itu yang dilihat teraniaya selain tiada tempat mengadu,” katanya.