Renungan




Sunday, October 18, 2009

Tukang sapu jumpa bayi



KOTA BHARU: “Sayu hati saya melihat seorang bayi lelaki dalam keadaan kesejukan kerana hanya dibaluti sehelai tudung dan diletakkan di atas wakaf masjid.

“Tanpa berfikir panjang saya segera mengambil tuala untuk menyelimut badannya yang kebiruan,” kata tukang sapu Masjid Telipot, Khatijah Yazid, 51, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, jemaah masjid itu gempar dengan penemuan bayi lelaki dipercayai berusia sehari itu yang masih bertali pusat dan ditinggal di atas wakaf masjid.

Kejadian itu disedari pasangan suami isteri berusia sekitar 50-an yang juga pengunjung masjid ketika menghantar kuih kepada rakan mereka yang ada di bangunan itu, pagi semalam.

Ketika menunggu suaminya wanita itu dikejutkan dengan tangisan seorang bayi berhampiran wakaf. Selepas diperiksa, dia menemui satu bungkusan mengandungi bayi di atas wakaf itu.

Wanita berkenaan segera memaklumkan imam masjid yang kemudian melaporkannya kepada polis.

Khatijah berkata, penemuan bayi itu dimaklumkannya oleh anak imam dan dia segera ke wakaf untuk melihat keadaannya.

“Bila mendekati bayi itu saya dapati dia hanya dibaluti sehelai tudung berwarna merah hati, menyebabkan saya memberi tuala untuk membaluti tubuhnya,” katanya ketika ditemui di masjid itu, semalam.

Khatikah berkata, kebanyakan jemaah masjid baru pulang dari Desa Telipot selepas menghadiri majlis bercukur dan mengerumuni kawasan wakaf untuk melihat secara dekat sebaik berita mengenai penemuan bayi itu tersebar.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan bayi berkenaan kini diletakkan di bawah pengawasan HRPZ II.

Kes penemuan bayi ini kali kedua direkodkan berlaku di masjid di bandar ini selepas seorang bayi lelaki baru lahir ditemui di atas but sebuah kereta di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, 13 Oktober lalu.