Renungan




Saturday, March 24, 2012

Nabi Muhammad Mengkaunsel Janda Talak Tiga

Fatimah binti Qais melaporkan bahawa dirinya pernah dicerai dengan talak tiga oleh bekas suaminya. Nabi Muhammad menerangkan kepadanya bahawa dia tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Apabila cikpuan sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Lalu apabila tempoh iddahnya sudah tamat, Fatimah pun memaklumkan perkara itu kepada Nabi Muhammad. Kemudian daripada itu ada tiga orang lelaki meminang dirinya, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya cikpuan terima Usamah sahaja.” Hati Fatimah tidak setuju dengan nasihat Nabi Muhammad. Sambil dia memulas-mulas tangannya, dia berkata, “Usamah?” Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi cikpuan.” Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya, selepas itu dia mengecapi kebahagiaan dalam perkahwinannya dengan Usamah. -- Hadith No. 862 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prinsip-prinsip dan teknik-teknik kaunseling yang Nabi Muhammad gunakan bagi membantu perempuan yang mengalami tekanan perceraian.

Hadith ini menunjukkan prosedur kaunseling Nabi Muhammad sangat berbeza dengan prosedur kaunseling Barat.

Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad tidak melakukan perkara-perkara seperti di bawah:

a. Nabi Muhammad tidak memanggil bekas suami Fatimah bt Qais bagi disiasat faktor yang menyebabkan dia menceraikan isterinya dengan talak tiga.

b. Nabi Muhammad tidak memanggil saksi-saksi bagi mengesahkan apakah benar Fatimah diceraikan dengan talak tiga.

c. Nabi Muhammad tidak mengucapkan kata-kata simpati kepada Fatimah.

d. Nabi Muhammad tidak menyalahkan bekas suami Fatimah.

e. Nabi Muhammad tidak menyiasat faktor-faktor yang menyebabkan Fatimah diceraikan dengan talak tiga oleh bekas suaminya.

f. Nabi Muhammad tidak menyalahkan Fatimah.


g. Nabi Muhammad tidak menasihati Fatimah supaya redha dengan dugaan Allah.

h. Nabi Muhammad tidak menasihati Fatimah supaya banyakkan bersabar.

i. Nabi Muhammad tidak menyuruh Fatimah supaya dia menenangkan fikirannya, membanyakkan solat dan berdoa mohon bantuan Allah bagi menyelesaikan kesukaran yang sedang dialaminya.

j. Nabi Muhammad tidak membantu Fatimah berfikir, dengan mengemukakan soalan-soalan yang Fatimah perlu fikirkan.

k. Nabi Muhammad tidak menyuruh Fatimah supaya buat keputusan sendiri.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu Fatimah, sebagai isteri yang dicerai dengan talak tiga dia tidak berhak diberi tempat tinggal dan belanja hidup oleh bekas suaminya. Di sini Nabi Muhammad menerangkan kepada Fatimah hukum yang berlaku ke atas perempuan yang dicerai talak tiga. Akal logik kita sukar menerima hal ini kerana Fatimah baru dicerai talak tiga, tetapi Nabi Muhammad bukan menghiburkan perempuan itu, sebaliknya memberitahu maklumat yang sangat 'mengejutkan' itu, di mana dengan hukum itu maka Fatimah mesti keluar dari rumah suaminya sehelai sepinggang.

Kemudian Nabi Muhammad berkata lagi kepada Fatimah,
"Apabila cikpuan sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Kata-kata Nabi Muhammad itu semacam memberi tanda-tanda beliau akan membantu Fatimah. Apabila tempoh iddah Fatimah tamat, dia memberitahukan hal itu kepada Nabi Muhammad. Berikutan itu, tiga orang lelaki melamar Fatimah, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Perkara itu dimaklumkan kepada Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad berkata kepada Fatimah: “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya cikpuan terima Usamah sahaja.” Di sini, Nabi Muhammad masuk campur dalam urusan Fatimah, di mana beliau cuba mempengaruhi pilihan Fatimah terhadap 3 lelaki yang melamarnya. (Dalam prosedur kaunseling Barat kaunselor tidak boleh masuk campur dalam proses membuat keputusan oleh kaunselee.) Nabi Muhammad menekan Fatimah supaya memilih Usamah walaupun hati Fatimah tidak setuju. Kata-kata tekanan itu adalah: “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi cikpuan.” Fatimah akhirnya menerima Usamah. Terbukti kemudian apabila dia mengaku bahawa dia sangat bahagia berkahwin dengan Usamah.


SUMBER :

Nabi Muhammad dengan Dua Logik yang Bertentangan: Mencinta Allah Tetapi Masih Melakukan Dosa Besar

Salah satu logik yang lazimnya menjadi pegangan kita adalah apa yang disebut 'logik dialektika'. Logik dielektika ini adalah ciptaan bangsa Yunani melalui pemikiran ahli-ahli falsafah mereka yang terkenal, Socrates, Plato dan Aristotle.

Contoh-contoh logik dialektika adalah:

* Kalau bukan BETUL, tentu SALAH
* Kalau bukan HITAM, tentu PUTIH
* Kalau bukan DI ATAS, tentu DI BAWAH
* Kalau bukan DI LUAR, tentu DI DALAM
* Kalau bukan HIDUP, tentu MATI
* Kalau bukan BAIK, tentu JAHAT
* Kalau bukan ISLAM, tentu KAFIR

Logik dialektika ini menghasilkan cara membuat kesimpulan yang ekstrem, contohnya:

* Kalau HITAM, hitam semua. Kalau PUTIH, putih semua.
* Kalau BAIK, baik semua. Kalau JAHAT, jahat semua.
* Kalau BETUL, betul semua. Kalau SALAH, salah semua.
* Kalau ISLAM, Islam semua. Kalau KAFIR, kafir semua.

Dalam logik dialektika, tidak mungkin berlaku kondisi di mana dua perkara yang bertentangan wujud serentak:

* Sesuatu itu berada di KANAN dan juga di KIRI
* Sesuatu itu HITAM dan juga PUTIH
* Sesuatu itu BETUL dan juga SALAH
* Sesuatu itu HIDUP dan juga MATI
* Sesuatu itu ISLAM dan juga BUKAN ISLAM

Namun, Nabi Muhammad menunjukkan logik berfikir yang bertentangan dengan logik dialektika Yunani, seperti dalam hadith ini:

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Dua kondisi saling bertentangan yang berlaku pada diri Abdullah si himar dalam hadith di atas:

i. Bahawa dia seorang pesalah dosa besar, yakni kesalahan meminum arak. Malah dari teks hadith ini dapat disimpulkan Abdullah adalah seorang penagih arak kerana sudah berkali-kali dihukum, namun masih meneruskan habit buruknya itu.

ii. Bahawa pada waktu yang sama dia juga seorang yang telah dipersaksikan oleh Nabi Muhammad sendiri sebagai orang yang mencintai Allah dan Rasulnya, sebagaimana yang dikatakan oleh beliau: "...
demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.”

Apabila kita berfikir dengan menggunakan logik dialektika, kata-kata Nabi Muhammad dalam hadith itu tidak dapat diterima, atas alasan tidak mungkin orang yang mencintai Allah dan Rasulnya juga melakukan pelanggaran hukum syariat yang berat!

Logik dalam hadith di atas adalah logik natural, yakni logik yang bukan dicipta oleh manusia, seperti halnya logik dialektika. Dalam logik natural memang boleh berlaku kondisi di mana seseorang yang melakukan dosa besar juga pada waktu yang sama adalah seorang yang mencintai Allah dan Rasulnya....

Layanan kepada Pelajar Corot: Peraturan Sekolah Mengatasi Amalan Nabi Muhammad

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

1. Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan strategi yang Nabi Muhammad gunakan bagi mengubah tingkah laku seorang yang melakukan kesalahan besar supaya dia mahu memberhentikan kesalahannya. Dalam hadith ini pesalah itu adalah seorang pesalah tegar, iaitu seorang penagih arak yang sangat serius. Di kalangan pelajar corot terdapat segelintir yang melakukan kesalahan berat seperti terlibat dengan kumpulan samseng dan lain-lain seperti itu.

2. Dalam hadith ini, Nabi Muhammad melakukan 2 strategi serentak:

i. Strategi melindungi dan menyelamatkan maruah si pesalah

Strategi ini dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan tidak mengzinkan orang mengutuk si pesalah. Apabila ada seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia..."

Dalam kes pelajar corot yang melakukan kesalahan, lazimnya guru tidak melindungi maruah pelajar corot itu. Sebagai contoh sekolah menghukum pelajar corot yang melakukan kesalahan secara terbuka di hadapan perhimpunan sehingga maruah pelajar itu jatuh dan dia mendapat malu.

Di dalam kelas, apabila ada pelajar mengejek kawan mereka yang melakukan kesilapan, guru hendaklah melindungi maruah pelajar yang sikap itu dengan menegah kawan-kawannya supaya jangan mengejeknya. Beritahu kepada kelas bahawa Nabi Muhammad tidak membenarkan kawan mengejek kawan.

ii. Strategi menaikkan maruah si pesalah

Strategi ini dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan memuji si pesalah it. Beliau memuji "....kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” Di sini Nabi Muhammad secara terbuka memuji si pesalah yang sedang menjalani hukuman dengan memberitahu kepada orang ramai kelebihan pesalah itu. Malah Nabi Muhammad bersumpah dengan menyebut nama Allah, dan beliau mengaku apa yang dipujinya itu adalah benar.

3. Hadith ini adalah hadith menyelamatkan maruah. Nabi Muhammad menunjukkan langkah ekstrem yang beliau sanggup ambil bagi mempertahankan maruah seorang penjenayah. Teknik dalam hadith ini dapat digunakan bagi mendorong penjenayah mengubah tingkah lakunya yang buruk kepada yang baik.

4. Tidak semua jenis kesalahan boleh dihukum di khalayak ramai. Contoh kesalahan yang boleh dihukum di khalayak adalah meminum arak dan mengambil dadah. Tetapi di sekolah banyak pelajar dihukum di khalayak ramai atas perkara-perkara yang bukan berdosa dalam agama. Kesalahan pelajar-pelajar itu adalah kesalahan melanggar peraturan sekolah yang dicipta oleh manusia biasa. Tetapi hukuman yang dikenakakan adalah melanggar peraturan agama, seperti mereka disuruh berdiri di hadapan perhimpunan sementara guru menghebahkan kesalahannya.

Amalan ini bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad. Sebagai contoh, di sekolah, pelajar yang melakukan kesalahan melanggar peraturan sekolah, seperti menyimpan kuku ataupun rambut panjang, tidak boleh dimalukan secara terbuka, kerana dalam agama kesalahan jenis itu tidak dihukum di hadapan khalayak ramai.

Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan bahawa penjenayah yang sedang menjalani hukuman sekalipun tidak boleh dikutuk di hadapan orang banyak. Apabila ada sesiapa mengutuk orang lain di khalayak, maka dia hendaklah menegah perbuatan orang itu.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa dalam ajaran Nabi Muhammad, penjenayah sekali pun layak menerima pujian.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Fadhilat Pujian Gaya Nabi Muhammad

Salah satu faktor mengapa guru-guru kelas corot sangat kurang memberi pujian kepada pelajar corot adalah disebabkan faktor budaya. Budaya kita memang bukan budaya yang murah dengan puji-pujian. Antara puncanya adalah kiita selalu diberi peringatan supaya menaruh curiga terhadap orang yang memuji kita atas alasan puji-pujian dapat menjerumuskan kita ke dalam keburukan, sebagai contoh puji-pujian menjadikan kita riak, ujub, sombong, tidak sedar diri dan tinggi diri.

Namun, banyak hadith menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad memberikan pujian dengan mudah sekali kepada sesiapa sahaja yang kebetulan melakukan perkara-perkara yang baik. Mereka yang dipuji oleh Nabi Muhammad itu tidak pula menjadi perasan, riak, ujub, sombong, tidak sedar diri, dan tinggi diri. Ini menunjukkan bahawa memang ada teknik-teknik memuji yang betul dan ada teknik-teknik memuji yang salah.

Nabi Muhammad menunjukkan kepada kita teknik-teknik memuji yang betul. Bukti bahawa teknik-teknik Nabi Muhammad itu betul adalah berdasarkan rekod-rekod sejarah.

1. Pujian dapat mendorong orang yang melakukan kesalahan memberhentikan kesalahannya.

Orang-orang yang melakukan dosa-dosa, yang pernah dipuji oleh Nabi Muhammad, terbukti memberhentikan perbuatan dosa mereka itu. Ini kerana tidak ada catatan dalam mana-mana hadith yang menunjukkan mereka masih meneruskan dosa mereka selepas menerima pujian Nabi Muhammad itu.

2. Pujian dapat mendorong orang yang melakukan kebaikan meneruskan perbuatan baiknya.

Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang baik, yang pernah dipuji oleh Nabi Muhammad, terbukti terus melakukan perkara-perkara baik itu. Tidak ada catatan dalam mana-mana hadith yang menunjukkan mereka berhenti melakukan kebaikan selepas menerima pujian Nabi Muhammad itu.

3. Pujian yang diberikan kepada satu orang mendorong orang-orang lain melakukan kebaikan yang sama.

Dalam rekod-rekod sejaran terdapat banyak catatan yang menunjukkan peristiwa di mana Nabi Muhammad memuji seseorang atas perkara baik yang dilakukan oleh orang itu. Apa yang berlaku kemudian, orang-orang lain yang mendengar pujian tersebut juga ikut melakukan perkara baik yang sama.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Nabi Muhammad Memberi Pujian Luar Biasa untuk Pertanyaan Biasa-Biasa

Muaz bin Jabal memberitahu bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi Muhammad: "Wahai Rasul Allah, terangkan kepada saya amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga." Nabi Muhammad berkata, "Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah. Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan." - Hadith ini direkodkan dalam Musnad Abu Dawud al-Tayalisi.

Hadith ini menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad memuji soalan yang dikemukakan kepada beliau. Soalan yang dikemukakan oleh Muaz bin Jabal itu bukanlah soalan yang luar biasa, ataupun yang sukar dijawab, namun Nabi Muhammad memuji soalan itu dengan berkata: "Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung...."

Dalam hadith ini kita dapat lihat bagaimana Nabi Muhammad memuji soalan yang biasa-biasa sahaja. Teknik seperti ini dapat mendorong orang supaya tidak takut-takut dan tidak malu-malu bertanya.

1. Soalan yang biasa-biasanya pun sudah layak diberi pujian, yakni jangan tunggu sehingga orang itu bertanya soalan yang jawapannya susah baru dipuji.

2. Muaz mengemukakan pertanyaan kepada Nabi Muhammad: "Wahai Rasul Allah, terangkan kepada saya amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga."

3. Sebelum Nabi Muhammad menjawab pertanyaan Muaz itu, beliau memuji pertanyaan yang dikemukakan oleh Muaz dengan berkata: "Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung...."

4. Pertanyaan "Wahai Rasul Allah, terangkan kepada saya amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga." adalah hasil kerja Muaz. Di sini Nabi Muhammad memuji kualiti hasil kerja Muaz itu dengan pujian yang sangat tinggi, yakni "...suatu soalan yang agung...."

5. Jawapan Nabi Muhammad itu adalah: "Bakh! Bakh! Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung. Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah. Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan."

7. Ayat jawapan Nabi Muhammad terdiri daripada 4 bahagian:

i. Kata seruan positif: "Bakh! Bakh!..." Kata seruan ini lebih kurang bermakna: Bagusnya! Bagusnya!

ii. Ayat yang memuji kualiti soalan itu: "... Sesungguhnya saudara telah bertanyakan suatu soalan yang agung."

iii. Ayat pujian tak langsung kepada diri Muaz: "Ia menjadi mudah bagi sesiapa yang diberi kemudahan oleh Allah."

iv. Ayat yang memberi jawapan kepada soalan: "Lakukanlah sembahyang yang ditetapkan, dan bayarlah zakat yang diwajibkan."


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Nabi Muhammad Memuji Hasil Kerja

Apabila Nabi Muhammad memuji, beliau memisahkan 2 faktor ini:

1. Diri orang yang melakukan kerja yang baik

2. Hasil kerja perbuatannya yang baik

Pujian yang Nabi Muhammad berikan adalah ditujukan kepada hasil kerja yang baik. Beliau tidak memuji diri orang yang melakukan kerja yang baik itu.

Ketika itu Abu Musa berada di belakang beliau, dan dia membaca, “Lahaula wala quwwata illa billah.” Nabi Muhammad berkata kepada Abu Musa, "Wahai Abdullah bin Qais, mahukah saudara saya tunjukkan suatu perbendaharaan syurga?" Abu Musa menjawab, “Sudah tentu, wahai Rasul Allah.” Beliau berkata, "Ucapkanlah, Lahaula wala quwwata illa billah."
– Hadith nombor 1893 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Dalam hadith di atas, Nabi Muhammad memuji kata-kata yang diucapkan oleh Abu Musa:
Lahaula wala quwwata illa billah. Nabi Muhammad memuji kata-kata itu apabila beliau mengatakan ia adalah perbendaharaan syurga.

Nabi Muhammad tidak memuji diri Abu Musa dengan berkata:

* "Kamu sungguh bijak!" (SALAH)
* "Saya kagum dengan kamu." (SALAH)
* "Kamu orang luar biasa." (SALAH)

* "Kamu sungguh bijak." (SALAH)
* "Kamu amat kreatif." (SALAH)



Rifa'ah bin Rafi' Az Zuraqi melaporkan pada suatu hari dia dan orang-orang lain sembahyang di belakang Nabi Muhammad. Ketika Nabi Muhammad mengangkat kepalanya daripada tunduk rukuk, beliau mengucapkan: Sami Allahu liman hamidah. Kemudian ada seorang laki-laki yang berada di belakang beliau mengucapkan: Rabbanaa wa lakal hamdu hamdan katsiiran thayiban mubaarakan fiihi. Selesai sahaja bersembahyang Nabi Muhammad bertanya: Siapakah orang yang membaca ayat tadi? Orang itu menjawab, "Saya." Beliau berkata, "Saya melihat lebih daripada tiga puluh malaikat berebut-rebut siapa antara mereka yang lebih dahulu dapat menuliskan ayat itu." - Hadith ini terdapat dalam Sahih Bukhari

Dalam hadith di atas, Nabi Muhammad memuji kata-kata yang diucapkan oleh Rifa'ah bin Rafi' Az Zuraqi: Rabbanaa wa lakal hamdu hamdan katsiiran thayiban mubaarakan fiihi.

Nabi Muhammad memuji kata-kata itu dengan berkata: "Saya melihat lebih daripada tiga puluh malaikat berebut-rebut siapa antara mereka yang lebih dahulu dapat menuliskan ayat itu."

Nabi Muhammad tidak memuji diri Rifa'ah bin Rafi' Az Zuraqi dengan berkata:

* "Kamu sungguh pandai!" (SALAH)
* "Saya suka kamu." (SALAH)
* "Kamu orang alim." (SALAH)
* "Saya belum pernah berjumpa orang macam kamu." (SALAH)
* "Kamu adalah orang hebat." (SALAH)

Impak Aplikasi Teknik Nabi Muhammad: Pelajar Kelas Corot Mahu Terus Duduk dalam Kelas Corot

Ustazah Siti Khadijah adalah guru kelas corot 5 Ali. Dalam FBnya beliau menulis tentang Cikpuan Kecil Iman Fatini yang mahu terus belajar dalam kelas corot...

Cikpuan kecil Iman Fatini (yang dibulatkan di dalam gambar) merupakan pelajar yang sangat rajin dan memiliki pencapaian cemerlang di dalam kelas 5 Ali.

Sekiranya saya meminta para pelajar memperdengarkan bacaan hafalan surah Al-Insyiqaq dan Al-Zalzalah, beliau tersenarai dalam pelajar terawal yang berjaya mengkhatamkan hafazan. Bagi mata pelajaran Feqah pula, kertas ujian beliau baru-baru ini mendapat markah penuh 100%.

Sewaktu saya menghabiskan waktu rehat bersama pelajar perempuan tempohari, beliau bercerita kepada saya, "Ustazah, sebelum ini saya kelas 4 Abu Bakar."

"Oh, benarkah?"

"Ya, ustazah. Mungkin kerana peratus saya tidak mencapai kelayakan kelas Abu Bakar, saya dimasukkan ke kelas 5 Ali," terang Cikpuan kecil Iman Fatini lagi.

"Betul, ustazah. Iman memang kelas Abu Bakar sebelum ini." Cikpuan kecil Nini pula menyampuk perbualan kami.

Saya mengangguk-angguk.

"Ustazah, selepas dapat keputusan ujian prestasi nanti, bubar kelaskah?" tanya Cikpuan kecil Iman Fatini lagi.

"Ya, begitulah menurut guru besar. Sekiranya kamu ustazah beri pilihan untuk masuk kelas 5 Abu Bakar, apakah kamu mahu meninggalkan kelas 5 Ali?"

"Tidak mahu. Saya mahu terus bersama 5 Ali," jawab Cikpuan Iman Fatini pantas.

"Apakah yang menyebabkan kamu mahu terus bersama kelas 5 Ali?" tanya saya pula.

"Saya gembira dan seronok belajar di kelas 5 Ali. Mereka (beliau menunjuk kepada pelajar lelaki di dalam kelas) menghafal sambil baring pun ustazah tidak marah. Ustazah baik dan sporting, tidak pukul mereka," jawab Cikpuan kecil Iman Fatini dengan petah sekali.

Allahu akbar! Berkati anak ini. Biarpun dia pelajar pintar, dia menyayangi rakan-rakannya yang corot setulus hati.

Nabi Muhammad Tidak Menyuruh Hamba Perempuan Muawiyah Menampar Majikannya

Hadith 'Tuhan di Langit'

Muawiyah memberitahu, "Saya pernah mempunyai seorang hamba wanita yang bekerja menggembala kambing milik saya di kawasan Uhud dan Jawwaniyyah. Pada suatu hari, saya membuat pemeriksaan dan saya dapati seekor kambing telah dimakan serigala. Saya adalah manusia biasa yang boleh marah seperti mana orang lain marah, dan saya telah menamparnya satu kali. Kemudian saya pergi berjumpa Nabi Muhammad, dan beliau menganggap masalah saya itu masalah berat. Saya berkata, "Wahai Rasul Allah, apakah saya patut memerdekakan dia?" Nabi Muhammad berkata, "Bawa dia ke sini." Lalu saya pun membawa hamba saya itu kepada Rasulullah. Beliau bertanya kepada hamba saya itu: "Di mana Allah?" Hamba saya menjawab: "Di langit." Nabi Muhammad bertanya lagi: "Siapa saya?" Dia menjawab: "Tuan adalah Rasul Allah." Nabi Muhammad berkata: "Bebaskan dia, kerana dia seorang wanita beriman." - Hadith ini tercadapt dalam rekod hadith autentik koleksi Sahih Muslim

1. Dalam peristiwa itu Muawiyah memberitahu Nabi Muhammad dia telah menampar hamba perempuannya. Hambanya itu bertugas menggembala kambingnya. Pada suatu masa Muawiyah telah memeriksa kambingnya, dan didapati seekor telah dimakan serigala. Lalu dia marah dan menampar hambanya itu dengan sekali tamparan. Hal itu diceritakannya kepada Nabi Muhammad. Jadi, kita dapat andaikan bahawa Muawiyah menyesal kerana menampar hambanya.

2. Muawiyah bertanya kepada Nabi Muhammad: "Wahai Rasul Allah, apakah saya patut memerdekakan dia?" Soalannya itu menunjukkan dia mahu menebus kesalahannya menampar hamba perempuannya itu.

3. Nabi Muhammad menyuruh Muawiyah membawa hambanya itu datang. Apabila hamba perempuan itu sudah ada di hadapan Nabi Muhammad, beliau tidak menyiasat dengan bertanya kepadanya:

* "Kuatkah cara dia tampar kamu?" (SALAH)
* "Selepas dia tampar kamu, apa dia buat?" (SALAH)
* "Ada ataupun tidak dia minta maaf kepada kamu?" (SALAH)
* "Adakah hamba-hamba lain pun dia tampar juga?" (SALAH)
* "Sudah berapa lama kamu jadi hambanya?" (SALAH)
* "Macam mana kamu samnpai menjadi hambanya?" (SALAH)
* "Kenapa dia suruh kamu menjaga kambingnya, sedangkan kamu perempuan?" (SALAH)

4. Sebaliknya Nabi Muhammad bertanya kepada si hamba itu 2 soalan:

i. Soalan: "Di mana Allah?" Hamba itu menjawab: "Di langit."

ii. Soalan: "Siapa saya?" Hamba itu menjawab: "Tuan adalah Rasul Allah."

Selepas mendengar jawapan hamba itu Nabi Muhammad tidak membetulkan cakap hamba itu tentang Tuhannya yang ada di langit. Sebaliknya Nabi Muhammad berkata kepada Muawiyah:"Bebaskan dia, kerana dia seorang wanita beriman."

5. Nabi Muhammad tidak menyuruh Muawiyah meminta maaf dari hamba perempuannya yang ditampar itu.

6. Nabi Muhammad tidak bertanya kepada hamba perempuan itu sama ada dia mahu memaafkan sahaja Muawiyah.

7. Nabi Muhammad tidak menyuruh Muawiyah membayar ganti rugi kepada hambanya.

8. Nabi Muhammad tidak menyuruh hamba itu melaksanakan qisas - hukum balas balik - kepada Muawiyah dengan menampar Muawiyah satu kali juga.

9. Nabi Muhammad memberikan penyelesaian sesuai dengan kehendak Muawiyah sendiri. Muawiyah bertanya kepada Nabi Muhammad sama ada dia patut memerdekakan hamba perempuannya itu. Lalu itulah penyelesaian yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepadanya.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Komunikasi Interpersonal Nabi Muhammad dengan Orang Berfikiran Negatif

Huzaifah bin Al Yaman berkata, "Orang-orang lain bertanya kepada Rasulullah tentang perkara-perkara kebaikan sedangkan saya bertanya kepada beliau tentang keburukan karena saya takut akan menimpa saya. Saya bertanya, "Wahai Rasulullah, dahulu kami berada pada masa jahiliah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Apakah selepas kebaikan ini akan datang keburukan?" Beliau menjawab, "Ya." Saya bertanya lagi, "Apakah selepas keburukan itu akan datang lagi kebaikan?" Beliau menjawab, "Ya, akan tetapi di dalamnya ada 'dukhn', kotorannya." Saya bertanya lagi, "Apakah 'dukhn', kotorannya itu?" Beliau menjawab, "Suatu kaum yang memimpin tanpa mengikuti petunjukku, kamu mengenalnya, tetapi sekaligus kamu ingkari." Saya bertanya lagi, "Apakah selepas kebaikan yang ada kotorannya itu akan timbul lagi keburukan?" Beliau menjawab, "Ya, iaitu para penyeru yang mengajak ke pintu Jahannam. Siapa yang memenuhi seruan mereka akan dilemparkan ke dalamnya." Saya bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, terangkanlah ciri-ciri mereka kepada kami." Beliau menerangkan, "Mereka itu berasal dari kulit-kulit kalian, dan mereka bercakap dengan bahasa kalian." Saya bertanya lagi, "Apakah perintah tuan kepada saya apabila saya menemui zaman keburukan itu?" Beliau menjawab, "Kamu tetap bergabung kepada jemaah muslimin dan pemimpin mereka." Saya bertanya lagi, "Jikalau pada saat itu tidak ada jemaah muslimin dan juga tidak ada pemimpin Islam?" Beliau menjawab, "Kamu tinggalkan seluruh golongan sekalipun kamu harus memakan akar pohon hingga maut menjemputmu, dan kamu tetap berada di dalam keadaan berpegang kepada kebenaran." Sahih al-Bukhari, No. 3338.

1. Pelapor hadith ini adalah Huzaifah bin Al Yaman. Dia melaporkan soalan-soalan yang pernah ditanyakannya kepada Nabi Muhammad. Huzaifah melaporkan: "Orang-orang lain bertanya kepada Rasulullah tentang perkara-perkara kebaikan, sedangkan saya bertanya kepada beliau tentang keburukan..." Dari ayat itu dapat diandaikan bahawa sebelum Huzaifah bertanya kepada Nabi Muhammad, banyak orang lain sudah bertanya. Orang-orang itu semua bertanyakan perkara-perkara yang positif, manakala dia bertanya perkara negatif.

2. Dari laporan Huzaifah itu, kita dapat andaikan bahawa majoriti mereka yang hadir dalam majlis itu adalah individu-individu yang berfikiran positif, melainkan dia seorang yang berfikiran negatif.

3. Semua tujuh soalan negatif Huzaifah itu dijawab oleh Nabi Muhammad dengan pendek, tidak ada yang lebih daripada 1 ayat sahaja. Dalam amalan lazim sekarang, tanpa diminta, penceramah sendiri akan menerangkan dengan huraian panjang-panjang dari sudut bahasa Arab, istilah, sejarah, syarak, tafsir dan sebagainya, yang tidak diminta oleh audiens. Dalam peristiwa itu, hal ini tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.

4. Nabi Muhammad memberi nasihat apabila Huzaifah meminta nasihat. Nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad itu pun hanya satu ayat sahaja. Dalam amalan lazim sekarang, tanpa diminta, penceramah sendiri memberi nasihat dalam bentuk penerangan panjang lebar.

5. Perkara-perkara yang Nabi Muhammad tidak lakukan apabila bercakap dengan orang yang berfikiran negatif dan suka meramalkan perkara-perkara negatif seperti Huzaifah:

i. Beliau tidak mengkritik sikap negatif Huzaifah dengan berkata:

* "Kamu ini terlalu negatif!" (SALAH)
* "Janganlah negatif sangat!" (SALAH)
* "Tidak perlu terlampau negatif." (SALAH)
* "Cubalah kurangkan sedikit mentaliti negatif kamu itu." (SALAH)
* "Kamu ini tidak habis-habis dengan fikiran negatif kamu!" (SALAH)

ii. Tidak mempersoal mengapa Huzaifah bertanyakan soalan-soalan negatif dengan berkata:

* "Mengapa pula kamu banyak sangat bertanya hal-hal negatif?" (SALAH)
* "Kamu tidak ada isu lainkah, asyik bertanya hal negatif sahaja." (SALAH)
* "Apa faedahnya kamu hendak tahu hal-hal buruk yang belum berlaku?" (SALAH)
* "Kamu sudah cukup bersiap sediakah bagi menghadapi zaman buruk itu?" (SALAH)
* "Kamu mahu jadi tukang ramal masa hadapankah?" (SALAH)

iii. Tidak menasihati Huzaifah supaya bersikap positif dengan berkata:

* "Kamu janganlah terlalu negatif, tak elok." (SALAH)
* "Cuba kurangkan sikap negatif kamu itu." (SALAH)
* "Berfikir biarkan seimbang. Positif ada, negatif pun ada." (SALAH)
* "Kalau kamu asyik berfikir negatif, nanti kamu takut tak tenbtu fasal." (SALAH)
* "Apa untungnya kalau kamu asyik memikirkan keburukan?" (SALAH)

iv. Kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad itu menunjukkan beliau tidak menidakkan ketakutan Huzaifah.

Contoh kata-kata yang menidakkan adalah:

* "Jangan takut, semua akan selamat." (SALAH)
* "Jangan khuatir, kamu tidak akan mengalaminya." (SALAH)
* "Jangan risau, perkara itu berlaku bila kamu sudah mati." (SALAH)
* "Tak perlulah kamu risaukan perkara yang belum berlaku." (SALAH)
* "Apa yang kamu risaukan sekarang, bila berlaku nanti barulah kamu fikirkan." (SALAH)


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Hadith Perempuan Menghiburkan Suami

Hadith ini dilaporkan oleh Aisyah binti Abu Bakar. Muhammad kembali kepada keluarganya dengan membawa ayat wahyu dalam keadaan gelisah. Beliau menemui Khadijah binti Khawailid lalu berkata, "Selimuti daku, selimuti daku!" Beliau pun diselimuti hingga hilang ketakutannya. Kemudian beliau menceritakan peristiwa yang terjadi itu kepada Khadijah, "Saya benar-benar bimbangkan diri saya." Khadijah berkata, "Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, dikau menyambung tali persaudaraan, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran." Khadijah beredar seketika dan kembali semula menemui baginda dengan membawa bersama Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, seorang sepupu Khadijah." - Hadith ini terdapat dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Al-Bukhari

1. Dalam peristiwa itu, Khadijah tidak menekan Nabi Muhammad supaya memberitahu kepadanya apa yang menyebabkan beliau berada dalam keadaan yang luar biasa sehingga minta dirinya diselimuti. Khadijah tidak bertanya kepada Nabi Muhammad: "Kenapa? Kenapa?"

2. Apabila Nabi Muhammad berkata: "Selimuti daku, selimuti daku!" Khadijah pun menyelimuti beliau. Di sini, apabila suami yang sedang emosional memberi arahan, serta-merta si isteri patuhi arahan itu. Pada masa yang sama Khadijah masih tidak bercakap apa-apa. Khadijah tidak bertanya kepada Nabi Muhammad: "Kenapa? Kenapa?" Keadaan senyap itu berterusan sehinggalah perasaan takut Nabi Muhammad hilang. Tempoh itu tentu beberapa lama. Dalam tempoh itu Khadijah terus diam.

3. Kemudian Nabi Muhammad menceritakan kepada Khadijah perkara yang menimpa dirinya, dan diakhiri dengan beliau berkata: "Saya benar-benar bimbangkan diri saya." Di sini Nabi Muhammad sendiri bercerita meskipun tidak diminta oleh Khadijah.

4. Kata-kata Nabi Muhammad "Saya benar-benar bimbangkan diri saya." adalah komunikasi emosi. Beliau melaporkan emosi beliau pada saat itu kepada Khadijah. Di sini, emosi yang dikomunikasikan oleh Nabi Muhammad kepada Khadijah adalah emosi amat bimbang.

5. Khadijah memberikan responnya dengan berkata: "Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, dikau menyambung tali persaudaraan, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran." Di sini, Khadijah mengucapkan kata-kata pujian kepada Nabi Muhammad yang sedang berada dalam keadaan emosional.

6. Nabi Muhammad tidak menolak kata-kata pujian yang diucapkan oleh Khadijah.

7. Kita dapat simpulkan cara Khadijah menangani situasi apabila suaminya sedang dalam keadaan emosional adalah seperti berikut:

i. Diam sahaja. Tidak menekan suami supaya menceritakan apa yang telah berlaku ke atas dirinya.

ii. Buat sahaja apa yang diarahkan oleh suami. Jangan tanya apa sebab dia suruh begitu.

8. Nabi Muhammad dapat mengingati patah-demi-patah setiap perkataan yang diucapkan oleh Khadijah. Kita dapat andaikan bahawa kata-kata Khadijah itu tersangat disukai oleh Nabi Muhammad.

9. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad melaporkan kata-kata isteri pertamanya iaitu Khadijah, yang sudah meninggal dunia, kepada isterinya yang lain, iaitu Aishah.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Nabi Muhammad Tidak Menyuruh Kaki Botol Bertaubat

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

1. Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menujukkan sejauh mana Nabi Muhammad sanggup menyelamatkan maruah seorang penjenayah di hadapan orang-orang lain. Pada peristiwa itu, seorang lelaki yang bernama Abdullah menjalani hukuman sebat atas kesalahan meminum arak.

2. Peristiwa dalam hadith ini menunjukkan 2 strategi yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau mendorong perubahan tingkah laku seorang penjenayah:

i. Menyelamatkan maruah si penjenayah daripada dijatuhkan oleh anggota masyarakat. Ini beliau lakukan dengan memarahi orang yang mengutuk si penjenayah. Beliau berkata kepada si pengutuk: “Jangan kutuk dia..."

ii. Menaikkan maruah si penjenayah di hadapan mata msyarakat. Ini beliau lakukan dengan memuji si penjenayah. Beliau memuji si penjenayah: "...saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.”

3. Pada peristiwa itu, si Abdullah sekali lagi dia dibawa ke hadapan Nabi Muhammad kerana kesalahan meminum arak lagi. Dia adalah penjenayah yang tegar, seorang penagih arak yang sangat serius tahap ketagihannya, sehingga walaupun sudah pernah disebat di khalayak ramai, hukuman itu tidak dapat mendorong dia memberhentikan perbuatan buruknya itu.

4. Semasa Abdullah sedang menjalani hukuman, ada orang mengutuk dia. Si pengutuk itu berkata: “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Si pengutuk itu mengutuk si pemabuk itu dengan suara kuat, sehingga Nabi Muhammad dapat mendengar kata-katanya. Lalu Nabi Muhammad serta-merta menegur si pengutuk dengan memberi arahan:"Jangan kutuk dia."

5. Dalam peristiwa itu, Nabi Muhammad tidak mengizinkan Abdullah dikutuk secara terbuka, sedangkan dia adalah pesalah dosa besar. Selepas mengucapkan kata-kata tegurannya, Nabi Muhammad menerangkan mengapa Abdullah tidak boleh dikutuk. Rasional yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi mempertahankan maruah Abdullah adalah: "....saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya." Perkara yang dijadikan alasan itu adalah perkara yang tidak ada sesiapa dapat melihatnya. Nabi Muhammad bersumpah bahawa si Keldai itu mencintai Allah dan Rasulnya, sedangkan sangat terang dan nyata dia berkali-kali dihukum sebat kerana melanggar hukum Allah.

6. Nabi Muhammad bersumpah: "...demi Allah, saya tahu...." Dengan bersumpah itu Nabi Muhammad mempertaruhkan nama baik diri beliau bagi meyakinkan si pengutuk dan orang-orang lain ada di situ mengapa pemabuk itu tidak boleh dikutuk. Malah Nabi memuji si Keldai itu:“Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” itu adalah pujian Nabi Muhammad kepada Abdullah, si Keldai itu.

7. Nabi Muhammad tidak menasihati si Keldai itu supaya insaf, bertaubat dan memberhentikan kesalahannya. Beliau tidak berkata kepada Abdullah:

* "Wahai Abdullah, insaflah, bertaubatlah, sebelum kamu terlambat." (SALAH)

* "Tidakkah kamu malu disebat di khalayak ramai?" (SALAH)

* "Dulu kamu sudah dihukum, mengapa kamu tidak serik?" (SALAH)

* "Bukankah kamu tahu minum arak itu dosa besar? Mengapa kamu masih teruskan?" (SALAH)

* "Tidakkah kamu takut kepada api neraka, wahai Abadullah?" (SALAH)

* "Sia-sia kamu sembahyang tonggang-tonggek kalau kamu masih minum arak!" (SALAH)

8. Kenyataan bahawa Abdullah sudah beberapa kali menjalani hukuman sebat adalah bukti bahawa hukuman sebat tidak dapat membantu Abdullah memberhentikan ketagihannya kepada arak. Namun, selepas peristiwa di atas, yakni selepas Nabi Muhammad memujinya sebagai seorang yang mencintai Allah dan Rasulnya, tidak ada laporan daripada mana-mana pelapor hadith yang menunjukkan Abdullah masih lagi dibawa ke hadapan Nabi Muhammad dan dihukum sebat kerana meminum arak.

9. Dalam peristiwa itu, orang yang mengutuk si Abdullah adalah orang yang alim, tahu hukum-hakam agama, yang tidak melakukan dosa berat. Dia sendiri tidak minum arak, itulah sebabnya dia mengutuk si Abdullah yang disebat. Dalam amalan lazim hari ini, golongan orang yang baik-baik dan alim sering kali mengutuk golongan yang melakukan dosa. Pada masa ini perbuatan mengutuk orang-orang yang melakukan dosa-dosa peribadi dilakukan secara terbuka melalui ucapan, ceramah, khutbah, majalah, akhbar, radio, televisyen, blog dan Facebook.

10. Dalam kes si Abdullah ini, kita dapat mengandaikan bahawa faktor yang mendorong Abdullah sehingga dia berjaya mengatasi ketagihannya bukanlah hukuman sebatan yang sudah berkali-kali dikenakan ke atas dirinya, melainkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad bagi mempertahankan dan meningkatkan maruahnya, meskipun kata-kata itu hanya sekali sahaja diucapkan.

11. Cara mendorong perubahan tingkah laku golongan ini tidak boleh dengan mengutuk mereka dan menjatuhkan maruah mereka di khalayak ramai, melainkan adalah dengan menggunakan teknik-teknik yang Nabi Muhammad tunjukkan dalam hadith-hadith psikologi.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Aplikasi Hadith 'Baju Nipis Asma'

Asmah binti Abu Bakar pernah masuk ke tempat di mana Rasulullah sedang berada, waktu itu Asmah memakai pakaian yang nipis. Rasulullah pun memalingkan mukanya daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita itu apabila dia sudah cukup umur, maka dia tidak boleh menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini," sambil beliau menunjukkan bahagian wajah dan telapak tangannya. - catatan ini terdapat dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Abu Dawud.

1. Memakai pakaian yang diperbuat daripada kain nipis adalah kesalahan teknikal. Ia bukan kesalahan moral.

2. Asma adalah seorang perempuan yang baik akhlak atau moralnya. Hanya sahaja kain yang menjadi bahan bajunya itu nipis. Maka penyelesaiannya adalah dengan cara Nabi Muhammad memberitahu dia bahawa dia tidak boleh memakai pakaian yang nipis.


2. Hadith ini menunjukkan cara bagaimana Nabi Muhammad menegur perempuan yang memakai pakaian yang menampakkan aurat, yakni bahagian badannya yang perlu ditutup.

i. Nabi Muhammad menegur perempuan itu secara langsung, maknanya kata-kata teguran diucapkan terus kepada perempuan yang berkenaan sahaja. Kerana Asma yang memakai pakaian daripada kain nipis maka kepada Asma sahaja teguran itu diberikan.

ii. Teguran tidak boleh diucapkan secara tidak langsung, di mana perempuan lain yang melakukan kesalahan tetapi teguran itu diucapkan kepada perempuan-perempuan lain, umpamanya Asma yang memakai baju nipis tetapi Nabi Muhammad bercakap berkenaan baju nipis kepada Siti Aisyah, Fatimah, Habibah dan lain, bukan kepada Asma.

iii. Nabi Muhammad tidak mengirimkan teguran melalui orang perantaraan, ertinya disebabkan Asma yang melakukan kesalahan itu, maka Nabi Muhammad bercakap terus kepada Asma, bukannya menyuruh Aisyah supaya menyampaikan tegurannya kepada Asma.

iv. Teguran terhadap baju Asma itu tidak diucapkan oleh Nabi Muhammad di khalayak ramai secara umum, seperti dalam ceramah, dalam blog ataupun dalam Facebook.

v. Teguran Nabi Muhammad kepada Asma itu tidak diucapkan dalam bentuk sindiran. Contoh ayat-ayat sindiran:

* "Buat apa memakai baju, kalau kita dapat tengok bayangan tubuhnya." (SALAH)

* "Ada perempuan yang menutup aurat tetapi sebenarnya dia membalut auratnya." (SALAH)

* "Sesetengah perempuan memakai tudung tetapi jambulnya terjulur." (SALAH)

* "Bagi sesetengah perempuan, tudung adalah perhiasan yang diletakkan di kepalanya." (SALAH)

3. Kesalahan tidak menutupi aurat dengan sempurna adalah jenis kesalahan personal yang tidak dikenakan hukuman di dunia, kerana hukumannya adalah di akhirat. Ia seperti kesalahan-kesalahan mengumpat, membuang masa, tidak menepati janji dan lain-lain.

4. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad kepada Asma adalah memberi pendidikan, ataupun istilahnya tarbiyah.

5. Apabila menegur baju Asma yang nipis, bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad semasa mendidik Asma adalah bahasa teknikal.

Aplikasi Hadith 'Penjual Kurma Basah'

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Hurairah. Dia melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah lalu di hadapan orang yang menjual selonggok buah kurma. Beliau memasukkan tangannya ke dalam longgokan buah kurma itu, lalu tangan beliau terkena pada buah basah di dalamnya. Nabi Muhammad bertanya kepada orang itu, "Apakah ini, wahai penjual kurma?" Orang itu menjawab, "Ia ditimpa hujan dari langit, wahai Rasulullah." Beliau berkata, "Tidakkah saudara letakkannya di atas, supaya diketahui oleh orang yang akan membelinya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." -- Hadith nombor 947 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Intipati hadith:

1. Walaupun sudah terbukti orang itu melakukan kesalahan, tetapi apabila bercakap dengannya tidak menggunakan ayat yang menuduh dia bersalah.

2. Tidak bertanya kepada pesalah dengan menggunakan perkataan 'mengapa'.

3. Memberi amaran dengan menerangkan impak perbuatannya yang salah.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith mendorong perubahan tingkah laku yang sangat buruk sifatnya, yakni menipu.

2. Nabi Muhammad menunjukkan bagaimana cara yang betul menghukum pelaku kesalahan berat dengan menggunakan ayat ancaman.

3. Jenis kesalahan yang dilakukan itu adalah kesalahan sosial, yakni kesalahan yang menyebabkan orang lain menjadi mangsa, yakni mereka mengalami kerugian dan kesusahan.

4. Kesalahan itu adalah kesalahan yang tidak ada hukumannya di dunia ini, hanya ada di akhirat.

5. Kesalahan itu adalah kesalahan dalam amalan profesional.


Aplikasi Hadith 'Orang Tak Puasa'

Anas bin Malik melaporkan, katanya, "Kami pernah ikut Rasulullah dalam suatu perjalanan. Ada antara kami yang berpuasa, dan ada yang tidak berpuasa. Lalu kami singgah di satu tempat persinggahan dalam cuaca yang panas. Mereka yang dapat berlindung daripada panas terik matahari adalah orang-orang yang mempunyai pakaian luar, manakala ada antara kami hanya menutup kepala dengan tangan sahaja. Mereka yang berpuasa duduk, manakala mereka yang tidak berpuasa pula bekerja mendirikan khemah dan memberi minum haiwan tunggangan. Lalu Rasulullah berkata, "Orang-orang yang tidak berpuasa pada hari ini berjalan sambil membawa pahala." -- Hadith ini direkodkan dalam koleksi sahih al-Bukhari dan sahih Muslim

Intipati hadith:

1. Puji orang yang membuat kerja baik yang menguntungkan orang lain.

2. Diamkan orang yang membuat kerja baik untuk keuntungan dirinya sendiri.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith motivasi melakukan kerja-kerja amal sosial, yakni kerja yang menguntungkan orang-orang lain.

2. Apabila ada 2 golongan orang, satu golongan melakukan ibadat sunat, manakala satu golongan lagi melakukan kerja-kerja sosial, puji golongan yang melakukan kerja sosial, manakala diamkan sahaja golongan yang melakukan ibadat sunat.

3. Pujian diberikan kepada mereka yang melakukan amal sosial semasa mereka sedang melakukan pekerjaan itu, bukan selepas kerja itu siap.

4. Pujian diberikan secara terbuka supaya golongan yang melakukan ibadat sunat pun dapat mendengarnya.

5. Konten pujian yang diucapakan adalah bahawa ganjaran yang diterima oleh orang yang melakukan kerja sosial adalah sama dengan mereka yang melakukan ibadah-ibadah sunat.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Aplikasi Hadith '12 Orang Malaikat'

Anas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu sembahyang, sambil membaca 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang yang ada diam sahaja, tidak seorang pun menjawab. Nabi Muhammad bertanya lagi, “Siapakah tadi yang mengucapkan kata-kata itu? Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa.” Lalu seorang lelaki berkata, “Tadi saya datang dengan termengah-mengah, lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian, Nabi Muhammad berkata, “Sungguh, saya nampak 12 orang malaikat berebut-rebut mengangkat kata-kata itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna 'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.'

Intipati hadith:

1. Apabila mahu mendorong perubahan tingkah laku, diamkan kesalahan.

2. Puji sahaja kebaikan yang dilakukan.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith mendorong perubahan tingkah laku daripada yang kurang elok kepada yang lebih elok.

2. Teknik dalam hadith ini sesuai digunakan bagi mendorong orang yang berniat baik tetapi pada waktu yang sama dia masih melakukan kesilapan-kesilapan.

3. Hadith ini juga sesuai bagi mendorong orang yang kreatif dan menggunakan daya kreativiti bagi mencipta idea-idea yang bagus.

4. Hadith ini juga sesuai digunakan bagi mendorong orang yang suka melakukan kerja-kerja tambahan secara sukarela, dan mempunyai daya usaha sendiri tanpa perlu disuruh-suruh.

5. Kelompok yang sebaiknya didorong menggunakan teknik ini adalah mereka yang bukan dari golongan pelajar cemerlang ataupun pekerja cemerlang.

6. Prinsip yang Nabi Muhammad tunjukkan adalah: Apabila ada orang yang melakukan kesalahan, tetapi pada masa yang sama dia melakukan satu kebaikan, maka diamkan sahaja kesalahannya manakala perbuatannya yang elok itu diberi pujian.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/

Aplikasi Hadith 'Pintu Langit Terbuka'

Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim

Intipati hadith:

1. Apabila mendorong orang supaya mempertingkatkan prestasinya, berikan pujian kepada prestasinya yang baik, manakala prestasinya yang buruk didiamkan sahaja.

2. Apabila memberi pujian, pujian itu hendaklah diberikan kepada kerja yang dilakukan ataupun kepada hasil kerja.

3. Pujian hendaklah diberikan segera, tidak ditangguh-tangguhkan.

4. Apabila kerja itu dilakukan secara terbuka maka pujian pun diberikan secara terbuka.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith motivasi bagi tujuan memperkukuhkan tingkah laku yang positif dan memadam tingkah laku negatif.

2. Dua tingkah laku positif yang diperkukuhkan dalam hadith ini adalah:

i. Datang ke masjid bagi solat berjemaah.

ii. Menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan idea yang baik.

3. Satu tingkah laku negatif yang dipadamkan adalah: Dia bercakap kuat di dalam masjid.

Cara memadam tingkah laku negatif adalah dengan mendiamkannya sahaja, yakni perbuatan tidak ditegur.

4. Apabila memuji bagi tujuan memperkukuhkan tingkah laku yang positif, tekniknya adalah:

i. Pilih satu perbuatannya yang baik.

ii. Puji kebagusan perbuatannya itu.

iii. Sebut impak daripada perbuatan tersebut.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/