Renungan




Saturday, March 24, 2012

Aplikasi Hadith 'Baju Nipis Asma'

Asmah binti Abu Bakar pernah masuk ke tempat di mana Rasulullah sedang berada, waktu itu Asmah memakai pakaian yang nipis. Rasulullah pun memalingkan mukanya daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita itu apabila dia sudah cukup umur, maka dia tidak boleh menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini," sambil beliau menunjukkan bahagian wajah dan telapak tangannya. - catatan ini terdapat dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Abu Dawud.

1. Memakai pakaian yang diperbuat daripada kain nipis adalah kesalahan teknikal. Ia bukan kesalahan moral.

2. Asma adalah seorang perempuan yang baik akhlak atau moralnya. Hanya sahaja kain yang menjadi bahan bajunya itu nipis. Maka penyelesaiannya adalah dengan cara Nabi Muhammad memberitahu dia bahawa dia tidak boleh memakai pakaian yang nipis.


2. Hadith ini menunjukkan cara bagaimana Nabi Muhammad menegur perempuan yang memakai pakaian yang menampakkan aurat, yakni bahagian badannya yang perlu ditutup.

i. Nabi Muhammad menegur perempuan itu secara langsung, maknanya kata-kata teguran diucapkan terus kepada perempuan yang berkenaan sahaja. Kerana Asma yang memakai pakaian daripada kain nipis maka kepada Asma sahaja teguran itu diberikan.

ii. Teguran tidak boleh diucapkan secara tidak langsung, di mana perempuan lain yang melakukan kesalahan tetapi teguran itu diucapkan kepada perempuan-perempuan lain, umpamanya Asma yang memakai baju nipis tetapi Nabi Muhammad bercakap berkenaan baju nipis kepada Siti Aisyah, Fatimah, Habibah dan lain, bukan kepada Asma.

iii. Nabi Muhammad tidak mengirimkan teguran melalui orang perantaraan, ertinya disebabkan Asma yang melakukan kesalahan itu, maka Nabi Muhammad bercakap terus kepada Asma, bukannya menyuruh Aisyah supaya menyampaikan tegurannya kepada Asma.

iv. Teguran terhadap baju Asma itu tidak diucapkan oleh Nabi Muhammad di khalayak ramai secara umum, seperti dalam ceramah, dalam blog ataupun dalam Facebook.

v. Teguran Nabi Muhammad kepada Asma itu tidak diucapkan dalam bentuk sindiran. Contoh ayat-ayat sindiran:

* "Buat apa memakai baju, kalau kita dapat tengok bayangan tubuhnya." (SALAH)

* "Ada perempuan yang menutup aurat tetapi sebenarnya dia membalut auratnya." (SALAH)

* "Sesetengah perempuan memakai tudung tetapi jambulnya terjulur." (SALAH)

* "Bagi sesetengah perempuan, tudung adalah perhiasan yang diletakkan di kepalanya." (SALAH)

3. Kesalahan tidak menutupi aurat dengan sempurna adalah jenis kesalahan personal yang tidak dikenakan hukuman di dunia, kerana hukumannya adalah di akhirat. Ia seperti kesalahan-kesalahan mengumpat, membuang masa, tidak menepati janji dan lain-lain.

4. Apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad kepada Asma adalah memberi pendidikan, ataupun istilahnya tarbiyah.

5. Apabila menegur baju Asma yang nipis, bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad semasa mendidik Asma adalah bahasa teknikal.