Renungan




Saturday, March 24, 2012

Aplikasi Hadith 'Jabir Bersedih'

Jabir bin Abdullah melaporkan dia pernah terjumpa dengan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Wahai Jabir, apakah yang menyebabkan saya lihat saudara dalam keadaan tidak bersemangat?” Jabir menjawab, “Wahai Rasul Allah, ayah saya telah mati syahid. Dia terbunuh semasa Perang Gunung Uhud dengan meninggalkan keluarga dan hutang.” Nabi Muhammad berkata, “Mahukah saudara saya beritahu khabar gembira tentang ayah saudara yang akan berjumpa dengan Allah?” Jabir menjawab, “Mahu, wahai Rasul Allah.” Nabi Muhammad berkata, “Allah tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun, melainkan dari balik tabir. Allah akan menghidupkan semula ayah saudara, dan Allah akan bercakap kepadanya tanpa ada tabir." - Hadith No. 3010 dalam kitab Shahih Sunan Tarmizi

Intipati hadith:

1. Apabila bertemu dengan orang yang sedang menanggung banyak masalah, termasuk masalah tekanan emosi, berikan respon kepada masalah emosinya.

2. Hiburkan hati orang yang bersedih dengan membawakan khabar gembira.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith kaunseling.

2. Nabi Muhammad menunjukkan proses kaunseling dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

3. Hadith ini menunjukkan salah satu tugas ketua adalah memberi kaunseling kepada anak buahnya yang menanggung beban masalah berat.

4. Apabila kaunselee menanggung banyak beban masalah, sebagaimana yang ditanggung oleh Jabir, teknik kaunseling yang betul adalah dengan memberikan prioriti kepada isu meringankan beban emosi orang itu.

5. Hiburkan hati orang yang menanggung tekanan emosi dengan memberikan kata-kata baik berkenaan perkara yang menjadi punca emosinya tertekan.