Renungan




Saturday, March 24, 2012

Aplikasi Hadith 'Penjual Kurma Basah'

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Hurairah. Dia melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah lalu di hadapan orang yang menjual selonggok buah kurma. Beliau memasukkan tangannya ke dalam longgokan buah kurma itu, lalu tangan beliau terkena pada buah basah di dalamnya. Nabi Muhammad bertanya kepada orang itu, "Apakah ini, wahai penjual kurma?" Orang itu menjawab, "Ia ditimpa hujan dari langit, wahai Rasulullah." Beliau berkata, "Tidakkah saudara letakkannya di atas, supaya diketahui oleh orang yang akan membelinya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." -- Hadith nombor 947 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Intipati hadith:

1. Walaupun sudah terbukti orang itu melakukan kesalahan, tetapi apabila bercakap dengannya tidak menggunakan ayat yang menuduh dia bersalah.

2. Tidak bertanya kepada pesalah dengan menggunakan perkataan 'mengapa'.

3. Memberi amaran dengan menerangkan impak perbuatannya yang salah.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith mendorong perubahan tingkah laku yang sangat buruk sifatnya, yakni menipu.

2. Nabi Muhammad menunjukkan bagaimana cara yang betul menghukum pelaku kesalahan berat dengan menggunakan ayat ancaman.

3. Jenis kesalahan yang dilakukan itu adalah kesalahan sosial, yakni kesalahan yang menyebabkan orang lain menjadi mangsa, yakni mereka mengalami kerugian dan kesusahan.

4. Kesalahan itu adalah kesalahan yang tidak ada hukumannya di dunia ini, hanya ada di akhirat.

5. Kesalahan itu adalah kesalahan dalam amalan profesional.