Renungan




Saturday, March 24, 2012

Aplikasi Hadith 'Pintu Langit Terbuka'

Ibnu Umar menceritakan, pada suatu masa beliau dan orang-orang lain sedang hendak melakukan sembahyang di masjid. Pada waktu itu kedengaran seorang lelaki berkata, "Allahu akbar kabiran, alhamdulillahi kathiran, wasubhanallahi bukratan wa'asila." Selepas selesai sembahyang, Nabi Muhammad bertanya kepada orang-orang yang ada, "Siapakah tadi yang membaca ucapan itu?" Lelaki itu menjawab, "Saya, ya Rasul Allah." Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya kagum dengan kata-kata itu. Pintu-pintu langit dibuka kerana kata-kata itu." Dalam laporannya itu, Ibnu Umar berkata, "Semenjak saya terdengar Nabi Muhammad berkata begitu, saya tidak pernah lupa mengucapkan kata-kata itu." - Catatan peristiwa ini ada dalam rekod koleksi hadith-hadith autentik Muslim

Intipati hadith:

1. Apabila mendorong orang supaya mempertingkatkan prestasinya, berikan pujian kepada prestasinya yang baik, manakala prestasinya yang buruk didiamkan sahaja.

2. Apabila memberi pujian, pujian itu hendaklah diberikan kepada kerja yang dilakukan ataupun kepada hasil kerja.

3. Pujian hendaklah diberikan segera, tidak ditangguh-tangguhkan.

4. Apabila kerja itu dilakukan secara terbuka maka pujian pun diberikan secara terbuka.

Aplikasi hadith:

1. Hadith ini adalah hadith motivasi bagi tujuan memperkukuhkan tingkah laku yang positif dan memadam tingkah laku negatif.

2. Dua tingkah laku positif yang diperkukuhkan dalam hadith ini adalah:

i. Datang ke masjid bagi solat berjemaah.

ii. Menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan idea yang baik.

3. Satu tingkah laku negatif yang dipadamkan adalah: Dia bercakap kuat di dalam masjid.

Cara memadam tingkah laku negatif adalah dengan mendiamkannya sahaja, yakni perbuatan tidak ditegur.

4. Apabila memuji bagi tujuan memperkukuhkan tingkah laku yang positif, tekniknya adalah:

i. Pilih satu perbuatannya yang baik.

ii. Puji kebagusan perbuatannya itu.

iii. Sebut impak daripada perbuatan tersebut.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/