Renungan




Saturday, March 24, 2012

Hadith Perempuan Menghiburkan Suami

Hadith ini dilaporkan oleh Aisyah binti Abu Bakar. Muhammad kembali kepada keluarganya dengan membawa ayat wahyu dalam keadaan gelisah. Beliau menemui Khadijah binti Khawailid lalu berkata, "Selimuti daku, selimuti daku!" Beliau pun diselimuti hingga hilang ketakutannya. Kemudian beliau menceritakan peristiwa yang terjadi itu kepada Khadijah, "Saya benar-benar bimbangkan diri saya." Khadijah berkata, "Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, dikau menyambung tali persaudaraan, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran." Khadijah beredar seketika dan kembali semula menemui baginda dengan membawa bersama Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, seorang sepupu Khadijah." - Hadith ini terdapat dalam rekod hadith-hadith autentik koleksi Al-Bukhari

1. Dalam peristiwa itu, Khadijah tidak menekan Nabi Muhammad supaya memberitahu kepadanya apa yang menyebabkan beliau berada dalam keadaan yang luar biasa sehingga minta dirinya diselimuti. Khadijah tidak bertanya kepada Nabi Muhammad: "Kenapa? Kenapa?"

2. Apabila Nabi Muhammad berkata: "Selimuti daku, selimuti daku!" Khadijah pun menyelimuti beliau. Di sini, apabila suami yang sedang emosional memberi arahan, serta-merta si isteri patuhi arahan itu. Pada masa yang sama Khadijah masih tidak bercakap apa-apa. Khadijah tidak bertanya kepada Nabi Muhammad: "Kenapa? Kenapa?" Keadaan senyap itu berterusan sehinggalah perasaan takut Nabi Muhammad hilang. Tempoh itu tentu beberapa lama. Dalam tempoh itu Khadijah terus diam.

3. Kemudian Nabi Muhammad menceritakan kepada Khadijah perkara yang menimpa dirinya, dan diakhiri dengan beliau berkata: "Saya benar-benar bimbangkan diri saya." Di sini Nabi Muhammad sendiri bercerita meskipun tidak diminta oleh Khadijah.

4. Kata-kata Nabi Muhammad "Saya benar-benar bimbangkan diri saya." adalah komunikasi emosi. Beliau melaporkan emosi beliau pada saat itu kepada Khadijah. Di sini, emosi yang dikomunikasikan oleh Nabi Muhammad kepada Khadijah adalah emosi amat bimbang.

5. Khadijah memberikan responnya dengan berkata: "Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, dikau menyambung tali persaudaraan, bercakap benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran." Di sini, Khadijah mengucapkan kata-kata pujian kepada Nabi Muhammad yang sedang berada dalam keadaan emosional.

6. Nabi Muhammad tidak menolak kata-kata pujian yang diucapkan oleh Khadijah.

7. Kita dapat simpulkan cara Khadijah menangani situasi apabila suaminya sedang dalam keadaan emosional adalah seperti berikut:

i. Diam sahaja. Tidak menekan suami supaya menceritakan apa yang telah berlaku ke atas dirinya.

ii. Buat sahaja apa yang diarahkan oleh suami. Jangan tanya apa sebab dia suruh begitu.

8. Nabi Muhammad dapat mengingati patah-demi-patah setiap perkataan yang diucapkan oleh Khadijah. Kita dapat andaikan bahawa kata-kata Khadijah itu tersangat disukai oleh Nabi Muhammad.

9. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad melaporkan kata-kata isteri pertamanya iaitu Khadijah, yang sudah meninggal dunia, kepada isterinya yang lain, iaitu Aishah.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/