Renungan




Saturday, March 24, 2012

Impak Aplikasi Teknik Nabi Muhammad: Pelajar Kelas Corot Mahu Terus Duduk dalam Kelas Corot

Ustazah Siti Khadijah adalah guru kelas corot 5 Ali. Dalam FBnya beliau menulis tentang Cikpuan Kecil Iman Fatini yang mahu terus belajar dalam kelas corot...

Cikpuan kecil Iman Fatini (yang dibulatkan di dalam gambar) merupakan pelajar yang sangat rajin dan memiliki pencapaian cemerlang di dalam kelas 5 Ali.

Sekiranya saya meminta para pelajar memperdengarkan bacaan hafalan surah Al-Insyiqaq dan Al-Zalzalah, beliau tersenarai dalam pelajar terawal yang berjaya mengkhatamkan hafazan. Bagi mata pelajaran Feqah pula, kertas ujian beliau baru-baru ini mendapat markah penuh 100%.

Sewaktu saya menghabiskan waktu rehat bersama pelajar perempuan tempohari, beliau bercerita kepada saya, "Ustazah, sebelum ini saya kelas 4 Abu Bakar."

"Oh, benarkah?"

"Ya, ustazah. Mungkin kerana peratus saya tidak mencapai kelayakan kelas Abu Bakar, saya dimasukkan ke kelas 5 Ali," terang Cikpuan kecil Iman Fatini lagi.

"Betul, ustazah. Iman memang kelas Abu Bakar sebelum ini." Cikpuan kecil Nini pula menyampuk perbualan kami.

Saya mengangguk-angguk.

"Ustazah, selepas dapat keputusan ujian prestasi nanti, bubar kelaskah?" tanya Cikpuan kecil Iman Fatini lagi.

"Ya, begitulah menurut guru besar. Sekiranya kamu ustazah beri pilihan untuk masuk kelas 5 Abu Bakar, apakah kamu mahu meninggalkan kelas 5 Ali?"

"Tidak mahu. Saya mahu terus bersama 5 Ali," jawab Cikpuan Iman Fatini pantas.

"Apakah yang menyebabkan kamu mahu terus bersama kelas 5 Ali?" tanya saya pula.

"Saya gembira dan seronok belajar di kelas 5 Ali. Mereka (beliau menunjuk kepada pelajar lelaki di dalam kelas) menghafal sambil baring pun ustazah tidak marah. Ustazah baik dan sporting, tidak pukul mereka," jawab Cikpuan kecil Iman Fatini dengan petah sekali.

Allahu akbar! Berkati anak ini. Biarpun dia pelajar pintar, dia menyayangi rakan-rakannya yang corot setulus hati.