Renungan




Saturday, March 24, 2012

Komunikasi Interpersonal Nabi Muhammad dengan Orang Berfikiran Negatif

Huzaifah bin Al Yaman berkata, "Orang-orang lain bertanya kepada Rasulullah tentang perkara-perkara kebaikan sedangkan saya bertanya kepada beliau tentang keburukan karena saya takut akan menimpa saya. Saya bertanya, "Wahai Rasulullah, dahulu kami berada pada masa jahiliah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Apakah selepas kebaikan ini akan datang keburukan?" Beliau menjawab, "Ya." Saya bertanya lagi, "Apakah selepas keburukan itu akan datang lagi kebaikan?" Beliau menjawab, "Ya, akan tetapi di dalamnya ada 'dukhn', kotorannya." Saya bertanya lagi, "Apakah 'dukhn', kotorannya itu?" Beliau menjawab, "Suatu kaum yang memimpin tanpa mengikuti petunjukku, kamu mengenalnya, tetapi sekaligus kamu ingkari." Saya bertanya lagi, "Apakah selepas kebaikan yang ada kotorannya itu akan timbul lagi keburukan?" Beliau menjawab, "Ya, iaitu para penyeru yang mengajak ke pintu Jahannam. Siapa yang memenuhi seruan mereka akan dilemparkan ke dalamnya." Saya bertanya lagi, "Wahai Rasulullah, terangkanlah ciri-ciri mereka kepada kami." Beliau menerangkan, "Mereka itu berasal dari kulit-kulit kalian, dan mereka bercakap dengan bahasa kalian." Saya bertanya lagi, "Apakah perintah tuan kepada saya apabila saya menemui zaman keburukan itu?" Beliau menjawab, "Kamu tetap bergabung kepada jemaah muslimin dan pemimpin mereka." Saya bertanya lagi, "Jikalau pada saat itu tidak ada jemaah muslimin dan juga tidak ada pemimpin Islam?" Beliau menjawab, "Kamu tinggalkan seluruh golongan sekalipun kamu harus memakan akar pohon hingga maut menjemputmu, dan kamu tetap berada di dalam keadaan berpegang kepada kebenaran." Sahih al-Bukhari, No. 3338.

1. Pelapor hadith ini adalah Huzaifah bin Al Yaman. Dia melaporkan soalan-soalan yang pernah ditanyakannya kepada Nabi Muhammad. Huzaifah melaporkan: "Orang-orang lain bertanya kepada Rasulullah tentang perkara-perkara kebaikan, sedangkan saya bertanya kepada beliau tentang keburukan..." Dari ayat itu dapat diandaikan bahawa sebelum Huzaifah bertanya kepada Nabi Muhammad, banyak orang lain sudah bertanya. Orang-orang itu semua bertanyakan perkara-perkara yang positif, manakala dia bertanya perkara negatif.

2. Dari laporan Huzaifah itu, kita dapat andaikan bahawa majoriti mereka yang hadir dalam majlis itu adalah individu-individu yang berfikiran positif, melainkan dia seorang yang berfikiran negatif.

3. Semua tujuh soalan negatif Huzaifah itu dijawab oleh Nabi Muhammad dengan pendek, tidak ada yang lebih daripada 1 ayat sahaja. Dalam amalan lazim sekarang, tanpa diminta, penceramah sendiri akan menerangkan dengan huraian panjang-panjang dari sudut bahasa Arab, istilah, sejarah, syarak, tafsir dan sebagainya, yang tidak diminta oleh audiens. Dalam peristiwa itu, hal ini tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad.

4. Nabi Muhammad memberi nasihat apabila Huzaifah meminta nasihat. Nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad itu pun hanya satu ayat sahaja. Dalam amalan lazim sekarang, tanpa diminta, penceramah sendiri memberi nasihat dalam bentuk penerangan panjang lebar.

5. Perkara-perkara yang Nabi Muhammad tidak lakukan apabila bercakap dengan orang yang berfikiran negatif dan suka meramalkan perkara-perkara negatif seperti Huzaifah:

i. Beliau tidak mengkritik sikap negatif Huzaifah dengan berkata:

* "Kamu ini terlalu negatif!" (SALAH)
* "Janganlah negatif sangat!" (SALAH)
* "Tidak perlu terlampau negatif." (SALAH)
* "Cubalah kurangkan sedikit mentaliti negatif kamu itu." (SALAH)
* "Kamu ini tidak habis-habis dengan fikiran negatif kamu!" (SALAH)

ii. Tidak mempersoal mengapa Huzaifah bertanyakan soalan-soalan negatif dengan berkata:

* "Mengapa pula kamu banyak sangat bertanya hal-hal negatif?" (SALAH)
* "Kamu tidak ada isu lainkah, asyik bertanya hal negatif sahaja." (SALAH)
* "Apa faedahnya kamu hendak tahu hal-hal buruk yang belum berlaku?" (SALAH)
* "Kamu sudah cukup bersiap sediakah bagi menghadapi zaman buruk itu?" (SALAH)
* "Kamu mahu jadi tukang ramal masa hadapankah?" (SALAH)

iii. Tidak menasihati Huzaifah supaya bersikap positif dengan berkata:

* "Kamu janganlah terlalu negatif, tak elok." (SALAH)
* "Cuba kurangkan sikap negatif kamu itu." (SALAH)
* "Berfikir biarkan seimbang. Positif ada, negatif pun ada." (SALAH)
* "Kalau kamu asyik berfikir negatif, nanti kamu takut tak tenbtu fasal." (SALAH)
* "Apa untungnya kalau kamu asyik memikirkan keburukan?" (SALAH)

iv. Kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad itu menunjukkan beliau tidak menidakkan ketakutan Huzaifah.

Contoh kata-kata yang menidakkan adalah:

* "Jangan takut, semua akan selamat." (SALAH)
* "Jangan khuatir, kamu tidak akan mengalaminya." (SALAH)
* "Jangan risau, perkara itu berlaku bila kamu sudah mati." (SALAH)
* "Tak perlulah kamu risaukan perkara yang belum berlaku." (SALAH)
* "Apa yang kamu risaukan sekarang, bila berlaku nanti barulah kamu fikirkan." (SALAH)


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/