Renungan




Saturday, March 24, 2012

Layanan kepada Pelajar Corot: Peraturan Sekolah Mengatasi Amalan Nabi Muhammad

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

1. Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan strategi yang Nabi Muhammad gunakan bagi mengubah tingkah laku seorang yang melakukan kesalahan besar supaya dia mahu memberhentikan kesalahannya. Dalam hadith ini pesalah itu adalah seorang pesalah tegar, iaitu seorang penagih arak yang sangat serius. Di kalangan pelajar corot terdapat segelintir yang melakukan kesalahan berat seperti terlibat dengan kumpulan samseng dan lain-lain seperti itu.

2. Dalam hadith ini, Nabi Muhammad melakukan 2 strategi serentak:

i. Strategi melindungi dan menyelamatkan maruah si pesalah

Strategi ini dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan tidak mengzinkan orang mengutuk si pesalah. Apabila ada seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia..."

Dalam kes pelajar corot yang melakukan kesalahan, lazimnya guru tidak melindungi maruah pelajar corot itu. Sebagai contoh sekolah menghukum pelajar corot yang melakukan kesalahan secara terbuka di hadapan perhimpunan sehingga maruah pelajar itu jatuh dan dia mendapat malu.

Di dalam kelas, apabila ada pelajar mengejek kawan mereka yang melakukan kesilapan, guru hendaklah melindungi maruah pelajar yang sikap itu dengan menegah kawan-kawannya supaya jangan mengejeknya. Beritahu kepada kelas bahawa Nabi Muhammad tidak membenarkan kawan mengejek kawan.

ii. Strategi menaikkan maruah si pesalah

Strategi ini dilakukan oleh Nabi Muhammad dengan memuji si pesalah it. Beliau memuji "....kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” Di sini Nabi Muhammad secara terbuka memuji si pesalah yang sedang menjalani hukuman dengan memberitahu kepada orang ramai kelebihan pesalah itu. Malah Nabi Muhammad bersumpah dengan menyebut nama Allah, dan beliau mengaku apa yang dipujinya itu adalah benar.

3. Hadith ini adalah hadith menyelamatkan maruah. Nabi Muhammad menunjukkan langkah ekstrem yang beliau sanggup ambil bagi mempertahankan maruah seorang penjenayah. Teknik dalam hadith ini dapat digunakan bagi mendorong penjenayah mengubah tingkah lakunya yang buruk kepada yang baik.

4. Tidak semua jenis kesalahan boleh dihukum di khalayak ramai. Contoh kesalahan yang boleh dihukum di khalayak adalah meminum arak dan mengambil dadah. Tetapi di sekolah banyak pelajar dihukum di khalayak ramai atas perkara-perkara yang bukan berdosa dalam agama. Kesalahan pelajar-pelajar itu adalah kesalahan melanggar peraturan sekolah yang dicipta oleh manusia biasa. Tetapi hukuman yang dikenakakan adalah melanggar peraturan agama, seperti mereka disuruh berdiri di hadapan perhimpunan sementara guru menghebahkan kesalahannya.

Amalan ini bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad. Sebagai contoh, di sekolah, pelajar yang melakukan kesalahan melanggar peraturan sekolah, seperti menyimpan kuku ataupun rambut panjang, tidak boleh dimalukan secara terbuka, kerana dalam agama kesalahan jenis itu tidak dihukum di hadapan khalayak ramai.

Dalam hadith ini Nabi Muhammad menunjukkan bahawa penjenayah yang sedang menjalani hukuman sekalipun tidak boleh dikutuk di hadapan orang banyak. Apabila ada sesiapa mengutuk orang lain di khalayak, maka dia hendaklah menegah perbuatan orang itu.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa dalam ajaran Nabi Muhammad, penjenayah sekali pun layak menerima pujian.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/