Renungan




Saturday, March 24, 2012

Nabi Muhammad dengan Dua Logik yang Bertentangan: Mencinta Allah Tetapi Masih Melakukan Dosa Besar

Salah satu logik yang lazimnya menjadi pegangan kita adalah apa yang disebut 'logik dialektika'. Logik dielektika ini adalah ciptaan bangsa Yunani melalui pemikiran ahli-ahli falsafah mereka yang terkenal, Socrates, Plato dan Aristotle.

Contoh-contoh logik dialektika adalah:

* Kalau bukan BETUL, tentu SALAH
* Kalau bukan HITAM, tentu PUTIH
* Kalau bukan DI ATAS, tentu DI BAWAH
* Kalau bukan DI LUAR, tentu DI DALAM
* Kalau bukan HIDUP, tentu MATI
* Kalau bukan BAIK, tentu JAHAT
* Kalau bukan ISLAM, tentu KAFIR

Logik dialektika ini menghasilkan cara membuat kesimpulan yang ekstrem, contohnya:

* Kalau HITAM, hitam semua. Kalau PUTIH, putih semua.
* Kalau BAIK, baik semua. Kalau JAHAT, jahat semua.
* Kalau BETUL, betul semua. Kalau SALAH, salah semua.
* Kalau ISLAM, Islam semua. Kalau KAFIR, kafir semua.

Dalam logik dialektika, tidak mungkin berlaku kondisi di mana dua perkara yang bertentangan wujud serentak:

* Sesuatu itu berada di KANAN dan juga di KIRI
* Sesuatu itu HITAM dan juga PUTIH
* Sesuatu itu BETUL dan juga SALAH
* Sesuatu itu HIDUP dan juga MATI
* Sesuatu itu ISLAM dan juga BUKAN ISLAM

Namun, Nabi Muhammad menunjukkan logik berfikir yang bertentangan dengan logik dialektika Yunani, seperti dalam hadith ini:

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Dua kondisi saling bertentangan yang berlaku pada diri Abdullah si himar dalam hadith di atas:

i. Bahawa dia seorang pesalah dosa besar, yakni kesalahan meminum arak. Malah dari teks hadith ini dapat disimpulkan Abdullah adalah seorang penagih arak kerana sudah berkali-kali dihukum, namun masih meneruskan habit buruknya itu.

ii. Bahawa pada waktu yang sama dia juga seorang yang telah dipersaksikan oleh Nabi Muhammad sendiri sebagai orang yang mencintai Allah dan Rasulnya, sebagaimana yang dikatakan oleh beliau: "...
demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.”

Apabila kita berfikir dengan menggunakan logik dialektika, kata-kata Nabi Muhammad dalam hadith itu tidak dapat diterima, atas alasan tidak mungkin orang yang mencintai Allah dan Rasulnya juga melakukan pelanggaran hukum syariat yang berat!

Logik dalam hadith di atas adalah logik natural, yakni logik yang bukan dicipta oleh manusia, seperti halnya logik dialektika. Dalam logik natural memang boleh berlaku kondisi di mana seseorang yang melakukan dosa besar juga pada waktu yang sama adalah seorang yang mencintai Allah dan Rasulnya....