Renungan




Saturday, March 24, 2012

Nabi Muhammad Memuji Perempuan di Dalam Masjid

Anas melaporkan bahawa Nabi Muhammad pernah ternampak kesan ludah melekat di dinding masjid. Beliau berasa marah sehingga wajah beliau merah. Kemudian datang seorang wanita penduduk asal Madinah lalu dia membuang kesan ludah itu, kemudian meletakkan wangian pada tempat itu. Nabi Muhammad berkata, "Alangkah bagusnya perbuatan itu!" – Hadith ini terdapat dalam koleksi Al-Nasa'i dan koleksi Ibnu Majah.

Initipati hadith:

1. Memuji perbuatannya, bukan orang yang melakukannya.

2. Puji dengan menggunakan perkataan 'alangkah bagusnya.'

Analisis hadith:

1. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Nabi Muhammad memuji seorang perempuan di dalam masjid kerana perempuan itu telah melakukan suatu perbuatan baik yang kecil sahaja.

2. Ada orang telah berludah dan ludahnya melekat di dinding masjid. Apabila ternampak ludah itu wajah Nabi Muhammad menunjukkan beliau berasa marah. Ertinya, perbuatan berludah di dalam masjid adalah salah.

3. Walaupun marah, Nabi Muhammad tidak menyiasat siapa yang berludah. Beliau tidak bertanya kepada orang-orang yang ada di situ: "Siapa yang berludah?" Ini adalah prinsip yang secara konsisten dilakukan oleh Nabi Muhammad, yakni beliau tidak menyiasat kesalahan yang telah dilakukan.

4. Beliau tidak berkata bahawa meludah ke dinding masjid adalah suatu kesalahan. Beliau tidak berkata kepada orang-orang yang ada di itu: "Jangan buat kotor dalam masjid. Ludah itu kotoran."

5. Beliau tidak mengucapkan kata-kata yang menunjukkan beliau marah. Orang tahu beliau marah disebabkan wajah beliau kelihatan merah.

6. Pada ketika itu ada perempuan di situ. Perempuan itu membuang kesan ludah tersebut dan meletakkan wangian.

7. Nabi Muhammad serta-merta memberi pujian, yakni beliau tiidak menagguhkan pujian.

8. Pujian itu diucapkan secara terbuka. Semua orang yang ada di situ dapat mendengar pujian itu dilafazkan dengan jelas dan terang.

9. Ayat pujian Nabi Muhammad adalah "Alangkah bagusnya perbuatan itu!" Nabi Muhammad memuji perbuatan wanita itu. Beliau tidak memuji diri wanita itu. Prinsip ini sangat penting.

SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/