Renungan




Saturday, March 24, 2012

Nabi Muhammad Mengkaunsel Janda Talak Tiga

Fatimah binti Qais melaporkan bahawa dirinya pernah dicerai dengan talak tiga oleh bekas suaminya. Nabi Muhammad menerangkan kepadanya bahawa dia tidak berhak menerima tempat tinggal dan belanja hidup dari bekas suaminya itu. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Apabila cikpuan sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Lalu apabila tempoh iddahnya sudah tamat, Fatimah pun memaklumkan perkara itu kepada Nabi Muhammad. Kemudian daripada itu ada tiga orang lelaki meminang dirinya, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya cikpuan terima Usamah sahaja.” Hati Fatimah tidak setuju dengan nasihat Nabi Muhammad. Sambil dia memulas-mulas tangannya, dia berkata, “Usamah?” Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi cikpuan.” Lalu Fatimah pun bernikah dengan Usamah. Menurutnya, selepas itu dia mengecapi kebahagiaan dalam perkahwinannya dengan Usamah. -- Hadith No. 862 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim

Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menunjukkan prinsip-prinsip dan teknik-teknik kaunseling yang Nabi Muhammad gunakan bagi membantu perempuan yang mengalami tekanan perceraian.

Hadith ini menunjukkan prosedur kaunseling Nabi Muhammad sangat berbeza dengan prosedur kaunseling Barat.

Dalam peristiwa di atas Nabi Muhammad tidak melakukan perkara-perkara seperti di bawah:

a. Nabi Muhammad tidak memanggil bekas suami Fatimah bt Qais bagi disiasat faktor yang menyebabkan dia menceraikan isterinya dengan talak tiga.

b. Nabi Muhammad tidak memanggil saksi-saksi bagi mengesahkan apakah benar Fatimah diceraikan dengan talak tiga.

c. Nabi Muhammad tidak mengucapkan kata-kata simpati kepada Fatimah.

d. Nabi Muhammad tidak menyalahkan bekas suami Fatimah.

e. Nabi Muhammad tidak menyiasat faktor-faktor yang menyebabkan Fatimah diceraikan dengan talak tiga oleh bekas suaminya.

f. Nabi Muhammad tidak menyalahkan Fatimah.


g. Nabi Muhammad tidak menasihati Fatimah supaya redha dengan dugaan Allah.

h. Nabi Muhammad tidak menasihati Fatimah supaya banyakkan bersabar.

i. Nabi Muhammad tidak menyuruh Fatimah supaya dia menenangkan fikirannya, membanyakkan solat dan berdoa mohon bantuan Allah bagi menyelesaikan kesukaran yang sedang dialaminya.

j. Nabi Muhammad tidak membantu Fatimah berfikir, dengan mengemukakan soalan-soalan yang Fatimah perlu fikirkan.

k. Nabi Muhammad tidak menyuruh Fatimah supaya buat keputusan sendiri.

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad memberitahu Fatimah, sebagai isteri yang dicerai dengan talak tiga dia tidak berhak diberi tempat tinggal dan belanja hidup oleh bekas suaminya. Di sini Nabi Muhammad menerangkan kepada Fatimah hukum yang berlaku ke atas perempuan yang dicerai talak tiga. Akal logik kita sukar menerima hal ini kerana Fatimah baru dicerai talak tiga, tetapi Nabi Muhammad bukan menghiburkan perempuan itu, sebaliknya memberitahu maklumat yang sangat 'mengejutkan' itu, di mana dengan hukum itu maka Fatimah mesti keluar dari rumah suaminya sehelai sepinggang.

Kemudian Nabi Muhammad berkata lagi kepada Fatimah,
"Apabila cikpuan sudah tamat tempoh iddah, beritahu saya.” Kata-kata Nabi Muhammad itu semacam memberi tanda-tanda beliau akan membantu Fatimah. Apabila tempoh iddah Fatimah tamat, dia memberitahukan hal itu kepada Nabi Muhammad. Berikutan itu, tiga orang lelaki melamar Fatimah, iaitu Muawiyah, Abu Jaham, dan Usamah bin Zaid. Perkara itu dimaklumkan kepada Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad berkata kepada Fatimah: “Muawiyah itu miskin, sedangkan Abu Jaham suka memukul isterinya, sebaiknya cikpuan terima Usamah sahaja.” Di sini, Nabi Muhammad masuk campur dalam urusan Fatimah, di mana beliau cuba mempengaruhi pilihan Fatimah terhadap 3 lelaki yang melamarnya. (Dalam prosedur kaunseling Barat kaunselor tidak boleh masuk campur dalam proses membuat keputusan oleh kaunselee.) Nabi Muhammad menekan Fatimah supaya memilih Usamah walaupun hati Fatimah tidak setuju. Kata-kata tekanan itu adalah: “Taat kepada Allah dan Rasulnya adalah lebih baik bagi cikpuan.” Fatimah akhirnya menerima Usamah. Terbukti kemudian apabila dia mengaku bahawa dia sangat bahagia berkahwin dengan Usamah.


SUMBER :