Renungan




Saturday, March 24, 2012

Nabi Muhammad Menunjukkan Bagaimana Menggunakan Emosi Secara Persuasif

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jarir bin Abdullah melaporkan, pada suatu hari beberapa orang Arab kampung datang berjumpa Nabi Muhammad dengan memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang yang masih ada bulunya. Apabila Nabi Muhammad melihat kemiskinan orang kampung itu beliau mengesyorkan supaya orang-orang yang ada mengeluarkan sedekah kepada mereka, tetapi anjuran Nabi Muhammad tidak diberikan perhatian serius sehingga menyebabkan tergambar emosi marah pada wajah beliau. Kemudian, ada seorang lelaki datang membawa uncang berisi duit. Selepas itu datang lagi orang-orang lain, sehingga beliau kelihatan gembira. Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.” -- Hadith No. 1859 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim.

1. Hadith ini menunjukkan dengan jelas bagaimana kata-kata Nabi Muhammad tidak semestinya akan terus dilaksanakan oleh mereka yang mendengarnya. Dari satu sudut, ini bermakna kata-kata Nabi Muhammad itu tidak cukup tinggi nilai pengaruhnya ke atas sesetengah individu.

2. Peristiwa ini berlaku di hadapan ramai orang. Pada masa itu ada beberapa orang yang amat miskin datang berjumpa Nabi Muhammad. Mereka sangat miskin kerana mereka memakai kulit haiwan yang masih ada bulunya.

3. Dalam data hadith ini tidak dicatatkan sama ada orang-orang miskin itu berkata apa-apa kepada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad terus mencadangkan supaya hadirin yang ada di situ pada waktu itu supaya bersedekah kepada mereka. Di sini Nabi Muhammad menunjukkan beliau tidak menunggu orang miskin bercakap meminta bantuan barulah bantuan diberikan.

4. Data hadith ini tidak mencatatkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad semasa mencadangkan hadirin bersedekah.

5. Apabila tidak ada sesiapa menyahut kata-kata Nabi Muhammad itu dengan memberi sedekah kepada orang-orang miskin itu, wajah beliau menunjukkan beliau marah. Tetapi beliau tidak bercakap apa-apa. Beliau diam sahaja. Dalam erti kata yang lain Nabi Muhammad tidak berkata apa-apa bagi meluahkan emosi marahnya.

6. Selepas wajah Nabi Muhammad menunjukkan tanda-tanda beliau marah, barulah ada seorang datang ke hadapan menyahut cakap beliau. Orang itu menyerahkan seuncang duit. Pelapor hadith ini, Jarir bin Abdullah, tidak mencatat nama lelaki itu. Kita dapat andaikan bahawa Jarir tidak kenal lelaki itu. Ini bermakna lelaki itu bukan seorang yang rapat dengan Nabi Muhammad.

7. Dari satu sudut dapat kita andaikan bahawa wajah marah Nabi Muhammad itu adalah fakor menyebabkan orang itu menyahut cadangan beliau itu dan menyerahkan uncang duitnya sebagai sedekah, yakni bukan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad. Dari satu sudut lain, dapat juga diandaikan bahawa emosi adalah salah satu elemen daya persuasi, oleh itu emosi dapat digunakan bagi mendorong perubahan tingkah laku orang lain.

8. Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menunjukkan bahawa emosi marah beliau itu mempunyai daya pengaruh yang tinggi. Namun emosi marah yang persuasif adalah emosi yang tidak diiringi oleh sebarang kata-kata.

9. Selepas lelaki itu membawa uncang duitnya kepada Nabi Muhammad, beberapa orang lagi ikut bersedakah. Kemudian wajah Nabi Muhammad menunjukkan emosi gembira. Namun Nabi Muhammad tidak mengucapkan kata-kata bagi meluahkan emosi gembiranya. Beliau tidak memuji mereka yang bersedekah itu dengan mengucapkan kata-kata pujian secara terus terang dan secara langsung.

10. Hadith di atas menunjukkan Nabi Muhammad tidak mendorong orang supaya bersedekah dengan cara mengkritik sikap kedekut orang-orang yang tidak mahu menyahut arahannya supaya bersedekah itu dengan berkata kepada mereka:

* "Sesiapa yang kedekut adalah calon penduduk neraka."

* "Malanglah nasib orang yang tidak mahu berbuat baik."

* "Orang kaya yang tidak suka bersedekah kepada jalan Allah akan diseksa di akhirat nanti."

* "Harta adalah ujian Allah kepada pemiliknya."

* "Golongan yang kedekut akan dicampakkan ke dalam neraka bersama-sama harta mereka."

* "Sesiapa yang tidak mahu berbuat baik adalah orang yang rugi."

* "Sikap tidak mahu berbuat baik adalah sikap orang yang bodoh, tidak bijak."

Beliau hanya membisu, manakala pada wajahnya dia menunjukkan emosi marah. Itu sahaja. Lalu orang pun mula bersedekah.

SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/