Renungan




Saturday, March 24, 2012

Nabi Muhammad Menunjukkan Cara Menolak Permintaan

Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah." -- Hadith ini dipetik dari rekod hadith-hadith autentik dalam koleksi Bukhari.

1. Dalam peristiwa di atas, Fatimah adalah anak perempuan kesayangan Nabi Muhammad.

2. Fatimah pernah meminta seorang pembantu rumah dari ayahnya, Nabi Muhammad. Ali tidak pula menyebutkan kata-kata yang diucapkan oleh Fatimah sewaktu mengemukakan permintaannya.

3. Nabi Muhammad tidak memberikan kepada Fatimah pembantu yang dimintanya. .

4. Nabi Muhammad tidak memberikan sebarang alasan mengapa beliau menolak permintaan Fatimah.

5. Nabi Muhammad menawarkan alternatif yang lebih baik dibandingkan pembantu rumah yang diminta oleh Fatimah tetapi ditolak dengan berkata: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah?"

6. Walaupun yang meminta pembantu adalah Fatimah, tetapi tawaran Nabi Muhammad itu bukan dikemukakan kepada Fatimah seorang tetapi kepada Fatimah dan suaminya Ali: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua...."

7. Nabi Muhammad mengemukakan tawaran itu dengan menggunakan kata tanya "Mahukah ayahanda beritahu....."

8. Walaupun beliau bertanya, tetapi beliau tidak menunggu Fatimah ataupun Ali menjawab. Beliau terus mengemukakan tawarannya itu: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu berdua, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itul adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah."

9. Tawaran itu dikemukakan dengan menngunakan ayat positif: "Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik...."

10. Tanpa memberitahu mengapa beliau menolak permintaan Fatimah, Nabi Muhammad terus memberikan gantian yang lebih murah tetapi nilainya lebih tinggi daripada seorang pembantu rumah.

11. Alternatif yang ditawarkan oleh Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan dibandingkan dengan pembantu rumah yang diminta oleh Fatimah.

12. Apabila Nabi Muhammad menolak permintaan Fatimah, beliau tidak melakukan perkara-perkara berikut:

i. Cara Nabi Muhammad menolak permintaan Fatimah adalah dengan mendiamkan perkara itu.

ii. Nabi Muhammad tidak mengatakan dengan terus terang bahawa beliau menolak permintaan Fatimah itu.

iii. Beliau tidak mengkritik sikap Fatimah.

iv. Nabi Muhammad tidak membuat Fatimah berasa bersalah kerana meminta pembantu.

v. Nabi Muhammad tidak merendah-rendahkan perkara yang diminta oleh Fatimah.

vi. Nabi Muhammad tidak meminta maaf kerana tidak dapat memberikan apa yang diminta.

Bercakap bagi tujuan menolak permintaan adalah sesuatu yang sangat sukar dilakukan oleh kebanyakan orang. Memang sukar hendak memberitahu bahawa kita tidak dapat memenuhi permintaan orang. Pertama-tama kita berasa bersalah apabila terpaksa menolak. Kedua, kita tidak tahu kata-kata yang bagaimana yang patut diucapkan bagi menolak permintaan itu. Namun, apabila Nabi Muhammad menolak permintaan, orang yang permintaannya ditolak itu tidak berkecil hati, malah berasa beruntung.

SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/