Renungan




Saturday, March 24, 2012

Nabi Muhammad Tidak Menyuruh Kaki Botol Bertaubat

Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'himar' yang bermakna 'si keldai'. Dia seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad senyum. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun menyebat dia. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

1. Hadith ini adalah hadith yang paling jelas menujukkan sejauh mana Nabi Muhammad sanggup menyelamatkan maruah seorang penjenayah di hadapan orang-orang lain. Pada peristiwa itu, seorang lelaki yang bernama Abdullah menjalani hukuman sebat atas kesalahan meminum arak.

2. Peristiwa dalam hadith ini menunjukkan 2 strategi yang digunakan oleh Nabi Muhammad apabila beliau mendorong perubahan tingkah laku seorang penjenayah:

i. Menyelamatkan maruah si penjenayah daripada dijatuhkan oleh anggota masyarakat. Ini beliau lakukan dengan memarahi orang yang mengutuk si penjenayah. Beliau berkata kepada si pengutuk: “Jangan kutuk dia..."

ii. Menaikkan maruah si penjenayah di hadapan mata msyarakat. Ini beliau lakukan dengan memuji si penjenayah. Beliau memuji si penjenayah: "...saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.”

3. Pada peristiwa itu, si Abdullah sekali lagi dia dibawa ke hadapan Nabi Muhammad kerana kesalahan meminum arak lagi. Dia adalah penjenayah yang tegar, seorang penagih arak yang sangat serius tahap ketagihannya, sehingga walaupun sudah pernah disebat di khalayak ramai, hukuman itu tidak dapat mendorong dia memberhentikan perbuatan buruknya itu.

4. Semasa Abdullah sedang menjalani hukuman, ada orang mengutuk dia. Si pengutuk itu berkata: “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Si pengutuk itu mengutuk si pemabuk itu dengan suara kuat, sehingga Nabi Muhammad dapat mendengar kata-katanya. Lalu Nabi Muhammad serta-merta menegur si pengutuk dengan memberi arahan:"Jangan kutuk dia."

5. Dalam peristiwa itu, Nabi Muhammad tidak mengizinkan Abdullah dikutuk secara terbuka, sedangkan dia adalah pesalah dosa besar. Selepas mengucapkan kata-kata tegurannya, Nabi Muhammad menerangkan mengapa Abdullah tidak boleh dikutuk. Rasional yang digunakan oleh Nabi Muhammad bagi mempertahankan maruah Abdullah adalah: "....saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya." Perkara yang dijadikan alasan itu adalah perkara yang tidak ada sesiapa dapat melihatnya. Nabi Muhammad bersumpah bahawa si Keldai itu mencintai Allah dan Rasulnya, sedangkan sangat terang dan nyata dia berkali-kali dihukum sebat kerana melanggar hukum Allah.

6. Nabi Muhammad bersumpah: "...demi Allah, saya tahu...." Dengan bersumpah itu Nabi Muhammad mempertaruhkan nama baik diri beliau bagi meyakinkan si pengutuk dan orang-orang lain ada di situ mengapa pemabuk itu tidak boleh dikutuk. Malah Nabi memuji si Keldai itu:“Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” itu adalah pujian Nabi Muhammad kepada Abdullah, si Keldai itu.

7. Nabi Muhammad tidak menasihati si Keldai itu supaya insaf, bertaubat dan memberhentikan kesalahannya. Beliau tidak berkata kepada Abdullah:

* "Wahai Abdullah, insaflah, bertaubatlah, sebelum kamu terlambat." (SALAH)

* "Tidakkah kamu malu disebat di khalayak ramai?" (SALAH)

* "Dulu kamu sudah dihukum, mengapa kamu tidak serik?" (SALAH)

* "Bukankah kamu tahu minum arak itu dosa besar? Mengapa kamu masih teruskan?" (SALAH)

* "Tidakkah kamu takut kepada api neraka, wahai Abadullah?" (SALAH)

* "Sia-sia kamu sembahyang tonggang-tonggek kalau kamu masih minum arak!" (SALAH)

8. Kenyataan bahawa Abdullah sudah beberapa kali menjalani hukuman sebat adalah bukti bahawa hukuman sebat tidak dapat membantu Abdullah memberhentikan ketagihannya kepada arak. Namun, selepas peristiwa di atas, yakni selepas Nabi Muhammad memujinya sebagai seorang yang mencintai Allah dan Rasulnya, tidak ada laporan daripada mana-mana pelapor hadith yang menunjukkan Abdullah masih lagi dibawa ke hadapan Nabi Muhammad dan dihukum sebat kerana meminum arak.

9. Dalam peristiwa itu, orang yang mengutuk si Abdullah adalah orang yang alim, tahu hukum-hakam agama, yang tidak melakukan dosa berat. Dia sendiri tidak minum arak, itulah sebabnya dia mengutuk si Abdullah yang disebat. Dalam amalan lazim hari ini, golongan orang yang baik-baik dan alim sering kali mengutuk golongan yang melakukan dosa. Pada masa ini perbuatan mengutuk orang-orang yang melakukan dosa-dosa peribadi dilakukan secara terbuka melalui ucapan, ceramah, khutbah, majalah, akhbar, radio, televisyen, blog dan Facebook.

10. Dalam kes si Abdullah ini, kita dapat mengandaikan bahawa faktor yang mendorong Abdullah sehingga dia berjaya mengatasi ketagihannya bukanlah hukuman sebatan yang sudah berkali-kali dikenakan ke atas dirinya, melainkan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad bagi mempertahankan dan meningkatkan maruahnya, meskipun kata-kata itu hanya sekali sahaja diucapkan.

11. Cara mendorong perubahan tingkah laku golongan ini tidak boleh dengan mengutuk mereka dan menjatuhkan maruah mereka di khalayak ramai, melainkan adalah dengan menggunakan teknik-teknik yang Nabi Muhammad tunjukkan dalam hadith-hadith psikologi.


SUMBER : http://hadithpsikologi.blogspot.com/